"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, July 19, 2010

MY LATE FATHER ONCE SAID..........

 


Allahyarham bapak pernah berkata dan selalu berpesan dengan maksud : "Kita miskin tapi jangan sampai minta-minta". Bapak saya  seorang pendatang dari  Tanah Jawa dan semua pesanannya dalam bahasa Jawa. Kami bertutur dalam bahasa  Jawa di mana-mana. Emak saya pun pendatang dari Jawa dan saya seronok berketurunan Jawa. Tradisi bekerja kuat tanpa mengira kepenatan mengalir dijiwa saya. Rupa-rupanya pesanan itu bukan sahaja bermaksud  supaya rajin berkerja agar tidak jadi peminta sedekah tetapi juga  membawa mesej yang lebih mendalam dan jauh. Bapak saya pernah bercerita di seorang santri  (pastinya di Pasentren, walaupun tidak dikatakan begitu). Maka dengan berkerja kuat saya pasti dia berharap agar kita memenuhi sebahagian besar perintah Allah supaya istiqamah dalam kerja-kerja yang baik dalam proses pengabdian pada Allah.


Hari ini saya menjumpai semula gambar Allahyarham bapak saya apabila saya mengemas barang-barang untuk disusun semula.Inilah sahaja gambar yang saya ada dan yang keluarga saya ada. Sayu saya bila teringat saya tidak banyak mengenali bapak saya ini kerana ia pulang keRahmat Allah pada tahun 1964 semasa saya berumur 16 tahun. Gambar ini diambil di studio ketika hendak membuat passport Haji dalam awal tahun 1962. Alahai ! Manalah kami ada kamera waktu itu.....

Ketika itu perjalanan menunaikan Haji bagi penduduk Johor adalah melalui Singapura dengan kapal laut. Saya ingat pergi menghantarnya tetapi amat sedikit yang saya faham mengenai pemergian itu. Saya anak yang bongsu dari lapan orang adik beradik yang semuanya perempuan melainkan seorang abang di atas saya. Sebagai yang bongsu saya hampir tidak pernah dirundingi dalam apa jua hal keluarga termasuk menjaga kesihatan semasa tua.

Bapak saya berasal dari Solo di Indonesia. Saya difahamkan begitu. Kakak-kakak saya tidak pernah bertanya selebih dari itu maka saya pun kurang tahu asal usul yang  lainnya. Memang sudah adat keluarga bahawa anak-anak tidak berani banyak bercakap samaada dengan emak atau bapak. Tetapi saya ingat kakak-kakak saya selalu mengejek-ejek  saya kerana saya suka tidur disebelah bapak bila ada peluang. Kononnya saya anak manja. (Tentu kakak-kakak saya jealous) Oleh kerana saya bongsu saya ingat saya dapat "keistimewaan" sedikit. Saya dapat makan sama dan kadang-kadang saya ikut pergi kenduri sama walau pun saya perempuan.

Saya membesar banyak dengan bapak saya. Emak saya terpaksa ke kampong lain mencari rezki di sana sebagai penoreh getah. Semasa musim cuti sekolah saya bersama dengan Emak saya. Dengan emak saya pun saya dididik kerja kuat. Katanya nanti besar (dewasa) kita boleh hidup senanag. Sebenarnya saya tidak pernah rasa tertekan kena kerja kuat, asal sahaja saya dapat peluang main dalam celah-celah menghabiskan kerja. Saya masih ingat lagi makan di bawah pokok getah dengan sambal tumis ikan bilis dan ikan kering dan asam pedas nenas sahaja. (nenas percuma.ambil sahaja di kebun). Waktu itu makan ikan bilis dan sotong kering adalah untuk orang miskin kerana harganya murah. "Ikan ribu-ribu" kata kakak saya waktu itu untuk ikan bilis. Sekarang saya kata "masyaAllah" nikmat makan tidak semestinya di hotel 5 bintang atau di tempat-tempat lain yang mewah-mewah. Nostalgia pada saya bila makan sambal tumis ikan bilis dan ikan kering.

Memang benar kata orang bahawa budaya pendatang adalah untuk "survival". Bagaimana untuk hidup dan terus hidup. Kaum pendatang yang sekarang pun begitu. Tetapi kami dulu tidak seperti sekarang. Tidak pernah kedengaran waktu itu orang pendatang merompak dan penyamun. WaAllahua'lam.

Dengan minda "suvivorlist" bapak saya bukan sahaja bekerja bercucuk tanam ubi keladi dan keledek,(untuk makan dan untuk dijual) tetapi ia juga mengambil upah bekerja menggali parit untuk menanadakan sempadan antara tanah kebun milik orang-orang persaorangan. Saya seronok kerana di parit-parit itulah saya dapat tangkap ikan termasuk belud. Selain itu bapak saya membela beberapa ekor kambing dan ayam. Ia hanya dibantu oleh kaka-kakak saya. Kesemua usaha ini adalah untuk menentukan supaya kami tidak bergantung pada orang lain, dan dapat menghantar anak-anak ke sekolah. Legacy ini mahal bagi diri saya dan keluarga. "We take pride in being self sufficient". Itu yang saya katakan pada anak-anak saya sekarang untuk diambil tauladan.

Tetapi sekarang ini saya mengatakan bahawa budaya "self sufficient" tidak mencukupi untuk mendukung tanggong jawab sebagai seorang Muslim mukmin.Jika kita lihat sirah sahabat-sahabat Rasulullah saw, kebanyakkannya kaya-kaya dan dapat menginfakan kekayaan untuk orang lain yang memerlukannya. Tetapi walau apa pun yang kita buat, kita harus mempunya sikap sanggup bersusah payah, sanggup berperit-perit dan sanggup berkongsi  apa jua dalam keluarga dan dalam jemaah. Walaupun  bapak saya hanya dapat menurunkan legacy kuat berkerja, tetapi itu merupakan kualiti jati diri yang perlu ada untuk menjana usaha kegiatan yang lain dan asas bagi membolehkan "jump-start" bagi kegiatan  yang keperluannya amat  mendesak.

Itulah sedikit catatan Legacy bapak saya. Bapak saya sentiasa megatakan pada anak-anak supaya jangan banyak tidur dan jangan banyak makan. Nanti jadi orang "teledor", iaitu pemalas, hatinya mati dan suka menumpang hidup dengan orang lain.  Makan bukan satu agenda besar dalam keluarga saya. Saya masih ingat bila balik sekolah rendah ketika itu saya akan terus ke kebun dan membakar ubi keladi untuk makan. Makan nasi jarang sekali kerana kami kurang mampu. Tapi berkat usaha dan kesabaran dan doa, saya membesar sihat. Alhamdulilah. Mampu bersukan, mampu belajar dan boleh bersaing dengan anak-anak bukan anak pendatang.

Saya bersyukur dan sekarang ini selalu memohon ampun untuk diri, emak dan bapak dan keluarga. Semoga  Allah terima saya sebagaai hambaNya dan doa saya untuk emak dan bapak kesampaian. Semoga amal yang tidak sepertinya ini Allah kira sebagai amal soleh dan emak dan bapak juga mendapat munafaatnya. Dan semoga kami bertemu nanti di taman-taman syurga pilihan.
AllahumaAmin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails