"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, January 10, 2014

Keringkam...atas nama Seni ?



Seni sulam Keringkam makin hari makin pupus.

Itu kata salah seorang ahli bengkel Wanita KBB kepada saya tempuh hari sewaktu rehat tengah hari. Ia menunjukan kepada saya hasil seni ini. Sangat cantik dipandang tetapi saya kurang yakin ia menjadi minat generasi muda. Ia diperbuat dengan benang sadoran emas atas kain bawal atau jenis lain yang lembut.

Hasil seni ini dari dahulu hingga sekarang hanya diminati oleh orang-orang bangsawan, berdarjat tinggi dalam masyarakat dan mereka yang amat berkemampunan dari segi kewangan kerana harga hasil seni ini amatlah mahal. Yang di atas ini tak silap ingatan saya berharga hampir RM10,000/- Yang di bawah ini  harganya hampir RM20,000/-. Terkejut saya mendengarnya dan takut untuk memegangnya lama-lama.



 Tudung ini di modelkan oleh ahli dalam bidang ini yang masih aktif dalam memelihara dan mengembangkan  seni ini. Katanya ia dipakai waktu majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan Diraja dan jamuan-jamuam terulung yang dihadiri oleh mereka dalam kumpulan status masyarakat yang tinggi.

Saya tekun mendengarinya sambil teringat akan diri sendiri. Keturunan orang pendatang macam saya ini jauh dari mengenalinya, manakan pula mahu memilikinya. Tidak salah menghayati  dan meminati budaya seni seperti ini. Cuma kalau saya berkemampuan sekali pun mungkin saya tidak akan cuba memilikinya kerana saya tidak beredar dalam kumpulan orang-orang ternama. Dan lagi saya sentiasa ingat pesan bapak dan emak saya yang merantau mengharung lautan dari Tanah Jawa ke sini untuk sesuap nasi supaya sentiasa berjimat, berbelanja seadanya dan jika ada kemampuan tolonglah saudara mara yang lain.  

Maka sekarang ini setiap kali bercerita tentang kemewahan saya akan teringatkan dana Sekolah Tadika SmarTop saya dan teman-teman di Tangkak Johor. Kami sentiasa mengharapkan pertolongan maka tidak mungkin kami akan bermewah-mewah atas nama seni seperti ini.

Entah mengapa saya berfikiran "kampungan"  bila berbicara tentangan kemewahan harta . Saya dilahirkan di rumah beratap rembia dan berlantaikan batang pinang. Agaknya itu  yang sentiasa mebuat saya rasa jauh dari berfikiran mewah. 

Suami saya merenung saya, sangsi tentang pendirian saya bila saya bercerita padanya. 

"Bukan rasa 'anggur masam' (sour grapes) ? " suami saya mencuit perasaan.

"Mungkin jugak," saya  kata senyum lebar. Manusia pandai berselindung diri. Mungkin saya juga begitu tanpa di sedari. Allah belum uji saya dengan kemewahan sedemikian rupa. Jika saya diuji semoga saya boleh bersabar dan mengerti makna kemewahan di sisi Allah.

Saya berfikiran berlainan sedikit mengenai seni-seni seperti ini. Adakah ia masih relevan dalam perkembangan masyarakat kita kini di mana para Da'ie selalu menyeru agar kita berhemah dalam perbelanjaan sara hidup supaya kita punya baki untuk diinfakan pada golongan yang amat memerlukan, terutamanya dibidang pendidikan. Orang Islam amat tertinggal dari segi Ilmu pengetahuan dalam semua jurusan. Ilmu masih dikuasai oleh Barat terutamanya Yahudi. Maka kita harus hati-hati dalam tindakan menyalurkan kemewahan yang ada. 'Knowledge is Power' Itu peringatan teman saya setiap kali berjumpa.

Kita fikirkan bersama....

Tidak salah Seni untuk Seni, Seni untuk Negara, tetapi lebih baik jika seni itu untuk mendekatkan kita pada yang maha Pencipta. Kita mahu termasuk dalam golongan bukan sahaja Solihin tetapi juga Muqarrabin. WaAllahua'lam.

Mohon anugerah Rahmat Mu ya Rabb.....

....

2 comments:

Al-Manar said...

Mengapa tidak dapat dipasarkan seperti kain singket Terengganu yang juga boleh bernilai puluhan ribu. Bolehpun dibuat untuk yang beharga murah.

ngasobahseliman said...

Eh....ia betul tu. Tetapi saya tidak teringat bertanya. Tetapi semacam seni ini bukan untuk seperti yang boleh diguna untuk kain songket. Kalau ada peluang ungin juga saya bertanya....
Terima kasih singgah lagi.

Related Posts with Thumbnails