"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Saturday, January 4, 2014

Menjana semula laluan Impian......


Awal pagi lagi saya sudah ke dapur membantu bibik di rumah anak saya untuk bersegera menyiapkan sarapan pagi untuk cucu-cucu yang mula bersekolah hari ini, (2 Jan 2014). Anak saya kurang sihat dan ia memerlukan bantuan untuk hari pertama ke sekolah bagi cucu-cucu saya yang istimewa ini. Huzaifah tidak lagi bersekolah di Sri Ayeshah di Bangi kerana ia memelukan perhatian khas bagi mengatasi masalah dylexia dan lain-lain kerumitan yang berkaitan dengannya.
Dahulunya Huzaifah di Adni Islamic School sebelum ia didapati bermasaalah pembelajaran. Tahun ini Huzaifah dan Akif keduanya ditempatkan di sekolah Rendah Precint 8, di kelas Intergrasi bagi anak-anak yang memerlukan perhatian khas. Huzaifah di tahun 3 dan Akif di tahun 1.
(Peluk sayang TokAyah sebelum memulakan sekolah baru).

Oleh kerana mereka istimewa mereka tidak perlu sampai awal sebelum pulul 8 pagi. Tetapi Ujai dan Akif sudah tidak sabar untuk segera ke sekolah. Asim Haniya adiknya mula Tadika tahun ini dan ia di tempatkan di Tadika Perpaduan, juga di Precint 8. Maka berlari dan bergurau sakan di luar rumah sementara menunggu TokAyah siap untuk memandu kereta.



 Huzaifah dan Akif patuh arahan Ibunya dan berjalan mencari kelas yang ditentukan. Saya ikut di belakang memerhatikan dan fikiran saya melarut-larut jauh teringat-ingat entah apa.....


Ini kelas Huzaifah. Hanya tiga orang murid sahaja pada hari pertama. Cikgu mengatakan mungkin ada lagi yang mendaftar lambat dan akan bersama nanti. Kelas dianggarkan seramai 5 atau 6 orang sahaja. Kelihatan di sini murid perempuan yang perlu duduk di kerusi roda. Semoga Huzaifah dapat menyesuaikan diri kerana sebelum ini ia dalam kelas yang ramai muridnya.


Ini kelas Akif Humaidi, cucu saya yang otistik. Teman murid tidak sama seperti di Tadika dahulu dan ia nampak senyap seolah-olah berfikir. Ibunya dan Huzaifah memerhatikan. Seorang bapa dan ibu seorang murid lain sedang cuba menenagkan anaknya. Ia juga sebelum ini di sekolah biasa sebelum disahkan ada masaalah pembelajaran. Khabarnya ia juga otistik seperti Akif. Subhanallah...

Hati saya bercampur-campur perasaan. Sayu dan bersyukur.

Di sinilah saya melihat semula pemikiran saya tentang masa depan cucu-cucu yang ini. Laluan mereka berbeza dari cucu-cucu yang lain, dan majoriti anak-anak lain yang sebaya dengannya. Sering sahaja saya terpegun memikirkan tentang bagaimana masa hadapan mereka. Bila mengingatkan kekuasaan Allah itu mutlaq, saya rasa amat terharu mendapat ruang merasakan hakikatnya. Kini saya mengalami sendiri apa itu keistimewaan kurniaan Allah. Apa yang mereka akan capai sudah tidak penting bagi saya. Yang penting ialah usaha gigih ibu-bapanya dan keluarga besar yang membantu seupayanya. Saya yakin itu yang Allah nilai. Bukan hasil usaha itu sendiri. Usaha adalah tanggong jawab kita. Hasilnya adalah Hak Allah jua. Allahu Akbar. Semoga Allah sentiasa memelihara mereka dan menganugerah yang terbaik di sisiNya.

Maka impian untuk anak-cucu berubah wajah. Saya amat menyesali prasangka yang ada di minda tanpa disedari. Selalu sahaja saya berfikiran fenomena ini berlaku pada orang lain. Atau pun saya mengharapkan Allah tidak menguji keluarga saya sedemikian rupa. Siapkah saya untuk bermudah dalam berfikiran. Semoga Allah mengampuni jiwa yang sering alpa, sering merasai diri berkuasa. Penyesalan yang tidak terhingga kerana rasa biadap terhadap Allah yang maha berkuasa dan maha bijaksana. 

Mohon ampun Ya Rabb.....
Aku berlindung dengan Mu dari segala kekurangan dan kelemahan.
Mohon ampun Ya Rabb...

....

No comments:

Related Posts with Thumbnails