"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, March 20, 2014

Pengukuhan keluarga Ben Hassan.




Sabtu minggu lalu keluarga besar sebelah suami saya mengadakan pertemuan berkala. Rancangan asalnya ialah sebulan sekali tetapi sasaran ini tidak tercapai. Maka setelah hampir setahun barulah kami dapat meneruskan agenda keluarga yang kami beri nama "Legacy Ben Hassan".

Kami mulakan dengan solat Isyak berjemaah.  Kemudian kita mengadakan sessi  membaca Surah Al Mukminun. Tujuannya supaya anak-anak muda membiasakan diri membaca alQuran sebagai permulaan untuk bertadabbur diikuti dengan kesungguhan mengamalkan apa yang dituntut dalam alquran dan meninggalkan larangannya.

Makan malam yang sederhana diadakan sebelum itu. Tujuan program ini ialah untuk membawa generasi pelapis lebih mengenali ahli keluarga masing-masing dan dengan silaturrahim yang lebih erat kami mengharapkan keluarga Ben Hassan akan dapat bergerak maju sebagai satu jemaah. Manakan mungkin kita mencapai kekuatan ummah jika kita tidak dapat mencapai kekeuatan keluarga. Kekuatan yang jitu hanya wujud dalam jemaah.

Itulah penerangan yang diberi semasa kali pertama kami berjumpa lama dahulu. Kali ini kami muhasabah diri mengapa objektif itu belum tercapai seperti diharapkan. Kesibukan dan kekangan masa adalah faktor penting. Maka ahli sentiasa diingatkan supaya bijaksana mengurus masa. Hubungan harian melalui face book dan kemudahan WhatsApp tidak memadai. Sentuhan perlu zahir dan batin. Melihat senyuman dan bersalaman dan berdakapan itulah antara wasilah menguatkan hubungan silaturrahim, mengikat hubungan kasih sayang yang berpanjangan. Jangan sampai teknologi merosakan konsep 'mawadah wa rahmah' yang ingin dibina dalam hubungan keluarga.



Gambar yang tertara di atas ialah sessi sarapan pagi setelah usai kuliah Subuh.  Pada malam sebelumnya diaadakan Qiammulail sebagai latihan untuk generasi muda semoga dapat memahami dan merasai bahawa kekuatan diri dan minda berkait terus dengan komitmen mengabdikan diri secara khusus pada satu pertiga malam. Alhamdulilah, latihan dapat berjalan lancar. Kami ada ustaz dalam keluarga maka semuanya alhamdulilah dibuat secara santai. Anak-kecil kami biarkan berlarian dan bekejaran supaya ibu-ibu muda boleh bersama dalam sessi menimba ilmu. Kalau di masjid mungkin rasa tidak selesa membawa anak kecil takut mengganggu ketenteraman jemaah masjid. Maka sebab itu kami adakan aktiviti ini supaya ibu-ibu muda punya peluang yang harus diambil kesempatan.

Semoga perjumpaan berikutnya dapat dijalankan berkala seperti perancangan awal. Semoga keutuhan silaturrahim keluarga dapat menjadi benteng dan dalam masa yang sama menjadi pemangkin untuk terus membangun keluarga sebagai asas membangun ummah.

Secara peribadi saya berdoa semoga lahir seorang peminmpin dari ahli generasi pelapis ini yang akn menerajui kepimpinan negara Islam yang mendapat sokongan umat sejagat.

Aameen ya Rabb.....

.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails