"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, January 25, 2018

Berhari-harian di Prince Court Medical Centre.....






Subhanallah....berita mengejutkan kami terima hari itu. Saya tetap ingat. Hari itu Sabtu 13 Januari 2018. Adik lelaki suami saya berada di hospital Prince Court Medical Centre di Wad ICU. Berdebar jantung dan tanpa banyak soal suami dan saya bersiap untuk berkejaran ke PCMC secepat mungkin. Saya cuba bertenang dan kata pada suami kita harus bertenang. Maka dalam perjalanan saya alihkan pandangan pada apa yang saya nampak sekeliling. Sudah lama saya tidak ke Kuala Lumpur dan saya agak terpegun melihat banyak bangunan baru dan laluan kenderaan yang berbagai hala. Maka tambah rasa risau takut lambat sampai ke hospital kerana kekesakan jalan.


Jalan amat sesak tetapi usah cerita panjang. Entah bila akan selesai. Buat orang yang berumur tujuhpuluhan biasanya tidak memandu sendiri.Tetapi apakan daya. kami tdak mampu supir. Maka itulah kami memandu jika ada keperluan penting dan tidak sanggup berpusu-susu untuk sesuatu yang tidak membawa kita kepada apa yang Allah tuntut. Umur kami sudah bukan untuk bersantai. 

Kami berada di Hospital ini berhari lamanya.....10 hari kesemuanya. Hospital ini bukan senghaja dipilih tetapi dalam kecemasan apakan daya.... Keluarga waris terdekat mencari Hospital Kerajaan tetapi hampir semuanya tidak dapat menerima kerana antara lain  tidak ada kemudahan mencukupi, terutamanya kemudahan kecemasan dan ICU unit untuk kes rumit. Maka dalam keadaan kebimbangan dan rasa terdesak mereka pilih ke PCMC di jalan Bukit Bintang. Setibanya di sana dan para perubatan sudah mula membuat prosidur barulah Hospital Kuala Lumpur menalipon mengatakan mereka boleh menerima. Pihak waris terdekat sudah amat bimbang untuk memanjangkan ketidak selesaan usung sana usung sini pesakit yang kritikal maka terus sahaja membuat keputusan tinggal di PCMC.





Hospital ini antara hospital terbaik didunia dan kemudahan untuk orang awam berurusan juga agak baik dan mewah .

Ini tempat kami menanti dan "berkampung" selama 10 hari, Ramai saudramara dan sahabat handai datang menziarahi pesakit. Allah menguji hamba-hambanya berbgai cara. Pesakit tidak sedarkan diri 2 hari setelah masuk hospital. Kami amat bimbang dan hanya berdoa sebaik mungkin. Semoga Allah mudahkan segala urusan bagi pesakit dan bagi kami. Semoga Allah kurnia yang terbaik bagi kami semua terutama bagi yang sakit.....yang terbaik  di sisiNYA.




Ini antara tempat kami "berkampung" siang dan malam selama 10 hai.
Bila ada berita baik dari doktor di ICU kami lega dan dapat bersembang santai.
Bila berita baik menurun, maka ramai yang akan duduk termenung.

Kekadang kami bebincang politik tetapi lebih sering berbincang mengenai sakit dan rawatan dan ada kalanya kami berbincang  mengenai kematian.dan alam barzah. 
Kami yang golongan tua lebih suka berbicang mengenainya dan
suka juga menasihati yang muda mengenai resipi kehidupan dan menerima hakikat bahawa sakit dan kematian adalah suatu yang harus difikir-fikir keran ketentuan Allah
 mengenainya  tidak mengira tua atau muda..




Ramai saudara mara dan sahabat handai dari berbagai lapisan masyarakat yang ziarah. Ramai juga dari teman-pesakai semasa belajar di US dan ramai juga teteman dalam perjuangan berdakwah untuk Islam.
Saya sesekali mengambil foto untuk kenangan kemuarga. Yang lainnya saya hanya melayan heti waris terdekat yang menanggung kebimbangan yang amat sangat.

Waktu inilah saya teringat akan buku berjudul RAHSIA KEMATIAN karangan Imam Al Qurtubi yang di alih bahasa oleh  Nabilah Abdul Jalil. Saya belum habis membacanya kerana isinya agat berat untuk fahaman sekali lalu. Saya letakan sebentar di tepi katil saya menantikan waktu yang sesuai untuk meneruskan kerana kadang kala saya rasa tkut mengikuti hakikat apa yang akan berlaku semasa diakhir hayat dan apa ang berlaku di waktu kita dihadapkan di hadapan mahkamah yang Maha Pencipta.

Dalam masa-masa yang tenang kami ada berbincang mengenainya. Tetapi banyak masa kami duduk senyap, membaca al Quran, berzikir dan berdoa.





Suami dan saya tidak tidur di hospital. Tengah malam kami pulang. Bukan mudah bagi suami memandu malam dalam keadaan hujan dan cuaca sejuk. Ada kalanya saya membantu jadi supir. Alhamdulillah Allah mudahkan




Saya rakam foto untuk kenangan suasana di hospital. Oleh kerana Surau dan tandas jauh dari Bilik ICU maka saya rasa amat kepenatan berjalan menunaikan solat pada waktunya. Saya fikir setiap hari saya berjalan lebih 5 kilometer. Kemudahan solat amat baik dan tidak ada sebab solat lambat melainkan pada saat-saat kritical.


Ramai yang mendoakan. Di atas adalah kiriman anak-anak angkat di Acheh yang mengaturkan pembacaan alQuran dan mendoakan semoga Allah memudahkan segala urusan menjaga pesakit hingga sembuh dan jika ia harus pergi buat selamanya mendoakan semoga Allah menerimanya dengan penuh Redha dengan RahmatNya semata-mata.

Dua kali sehari waris terdekat akan mendapat laporan terperinci dari doktor pakar. Merka dideri penerangan tentang masaalah yang ada pada pesakit dan apa tindakan yang telah diambil dan apa yang akan diambil.

Saya masuk sesekali waktu melawat dan rasa amat insaf memikirkan hakikat bahawa jemputan Allah tidak mengira umur dan tidak mengira sama ada kita sudah beres menyelesaikan apa yang perlu diselesaikan. Berbagai alat modern dan canggih digunakan tetapi setelah seminggu tidak ada perkembangan yang memberangsangkan. Maka pada hari kesembilann Doktor berbincang semula denga waris terdekat dan memperakukan demi kesejahteraan pesakit, sudah sampailah masanya untuk mengambil tindakan yang berat di sisi mereka keluarga tersayang. Semu jenis ubat-ubatan akan diberhentika kera sudah tidak ada kesan positif dan akhirnya "Life Support System" akan juga di berhentikan.

Saya amat terkesan dengan apa yang berlaku keran saya punya pengalaman mengenai anak saudara saya yang mengidap diabetis dan telah menjadi rumit untuk dirawat. Saya minta jasa baik doktor memberi saya peluang sebentar untuk mengetahui keadaan sebenar. Saya memperkenal diri pada doktor bahawa saya bukan waris terdekat tetapi saya waris tertua dalam keluarga besar yang ada setiap malam di hospital Doktor memberitahu saya hal sebenarnya dan saya faham sebab kes yang saya lalui menjaga anak saudara saya 3 tahun dahulu. Akirnya ia mesti diberhentikan segala rawatan. "Life Support System" ditanggalkan. Realiti diterima penuh redha.

Pada saat akhir saya tidak duduk dekat dengan pesakit tetapi sudah dapat menjangka apa yang mungkin berlaku.

Alhamdulillah pesakit menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan tenang. Suami saya menalkinkan, berbisik ditepi telinganya. Semua yang hidup akan merasai mati, disebut dalam alQuran. Maka kita semua harus akur dan Ustaz sentiasa menasihtan supaya bersiap sedia. Sedih dan insaf.........



 Jenazah dibawa ke masjid di Cyberjaya untuk dimandikan dan sisolatkan. Anaknya sendiri yang mengimakan solat dan doa dilafazkan oleh adik iparnya yang juga seorang Ustaz.




Jenazah di semadikan di Tanah Perkuburan di Putrajaya. Ketiga-tiga anak lelakinya bekerja kuat. Alhamdulillah. Talkn di amanah kan pada adik ipar yang membaca doa di atas tadi. Isi kandungan talkin lebih untuk didengari oleh mereka yang datang ke pusara dan doa khusus hanya pada mayit yang dikebumikan. Saya merasai suasana yang menyentuh hati dan fikiran. Akhirnya semua kita akan ke tempat yang sama.

Kami pulang dengan berat kaki. Tetapi apakan daya. Perjuangan keluarga harus beterusan. Semua urusan kewangan dikendali oleh Adik Allahyarham dan saya diberiahu ramai yang membantu. Beberapa orang teman akrab membantu menyelesaikan pembayaran di hosptal. Masa seperti inilah kita mengenli siapa kawan sebenar. Yang berat sama-sama dipikul. Alhamdulilah.




Kami tinggalkan "tempat berkampung" di hospital. Saya rasa lengang dan pasti waris terdekat rasa lebih dari itu.


Selepas selesai persemadian jenazah kami pulang berehat dirumah adik ipar di Cyberjaya untuk mengaturkan apa yang harus diambil tindakan selepas ini.
Untuk sementara waktu kami berehat mencari tenaga baru.
Dari Allah kita datang dan kepada NYA kta kembali. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa nya menempatkan Ruhnya dikalangan Ruh para Sidiqiin dan para Solihiin.
Aamiin ya Rabbal Alamiin.

....
Allahyarham Dato Muhammad Alayuddin bin Hj Hassan
Alhamdulillah wajah jenazahnya pun tersenyum tenang.

........

No comments:

Related Posts with Thumbnails