Tahun 2009 kini hampir kepenghujungnya. Suka saya kongsikan detik-detik ingatan yang telah menyentuh hati dalam meneruskan hidup ini sebagai satu perjuangan untuk bersama-sama mereka yang berjihad ke jalan Allah swt. Detik-detik ini saya rakam melalui wajah-wajah insan dari yang muda hingga yang tua berlatar belakangkan peristiwa-peristiwa yang biasa-biasa tetapi kadang kala ada signifikannya.
Apa jua peristiwa dalam hidup kita tidda yang berlaku secara kebetulan dari segi kehendak Allah dan SunatullahNya. Manusia diberi pilihan. Namun kuasa mutlak adalah pada Allah semata-mata.
Ini wajah cucu pertama yang dari bayi lagi sudah menampakan perwatakannya yang aktif. Huzaifaf antara namanya. Dari lahir hingga lepas pantang setiap malam menangis tanpa sebab yang mudah difahami.Saya mengasuhnya dari lahir sebelas hari hingga umur nya 6 bulan kerana ibunya terpaksa ke Jepun melanjutkan pengajiannya. Kini ia berumur 4 tahun dan tidak seminit dia akan diam melainkan jika tidur dan menonton kartun yang diminati di TV, atau membaca buku bersama ibunya. Itu pun sekejap sahaja. Kata ibunya itu normal kerana dia sudah di perhati oleh seorang doktor pakar semasa membesar di Tokyo, Jepun. Gambar di sini bersama Tok Ayahnya yang terlalu memanjakannya.
Berpindah pulak kita kepada cerita anak-anak yatim dan miskin. Dibawah ini adalah sebahagian peristiwa yang mana sebagai ahli Pertubuhan Mawaddah Malaysia membantu mengadakan aktivi untuk mereka memupuk semangat jati diri.
Ini wajah-wajah anak keluarga miskin yang menghadiri program pembelajaran tambahan secara berlainan dari yang diberi di sekolah. Kami sebagai NGO mengaturkannya dari masa kemasa bagi memberi motivasi semoga mereka dapat memantapkan diri untuk mencintai dunia pelajaran dan pendidikan. Mula-mula mereka menampakan watak yang pemalu. Tetapi dengan usaha fasilitator yang komited untuk membantu, mereka cepat mesra dan menunjukan minat untuk memperbaiki diri dalam pembelajaran. Program itu kami namakan "English is Fun", dan kami sasarkan agar mereka tidak takut bertutur dalam bahasa Inggeris.
Ini wajah Ustazah Mardziah A. Rahman, ketua biro wanita masjid Ar Rahman, Kg. Tunku selama 6 tahun, 2003-2009. Saya menjadi setiausaha kerjanya.Beliau mempunyai perwatakan mudah berinteraksi, banyak bersabar dan banyak berkongsi ilmu. Di bawah pentadbiran baru kerajaan negeri, mereka yang berumur lebih 60 tahun tidak layak memegang jawatan, termasuklah saya.Tidak mengapa kerana "dimana ada kemahuan, di situ ada jalan".Setiap kerja sukarela tidak ada kesudahannya selagi Allah memberi kemampuan. Alhamdulillah, Allah kurnia rezki mendapat kawan-kawan yang masih bergiat membantu yang kurang upaya dan saya dapat membantu usaha itu.
Ini pula wajah ibu-ibu yang menghadiri sessi "katakan Tidak pada keganasan.". Mereka di beri penerangan mengenai masaalah keganasan atas wanita kanak-kanak dan ada juga pada warga tua. Tujuannya ialah untuk memaklumkan mereka cara mencari jalan keluar dari masaalah ini. Mereka mendapat maklumat yang diperlukan dari wakil-wakil prihatin, iaitu dari peguam, polis dan Jabatan Kemajuan Masyarakat.Mereka juga ditunjukan video yang memberi penerangan mengenai pusat "One Stop Centre" di hospital. Yang memberi penerangan ialah seorang doktor perubatan. Semoga ada munafaatnya.Sekurang-kurangnya mereka memahami bahawa keganasan bukan hanya keganasa fisikal tetapi juga keganasa emosi dan yang terlibat buka mereka yang miskin tetapi juga yang berpelajaran dan yang kaya.
Ini wajah kakak saya yang tertua yang masih ada bersama keluarga. Beliau berumur 73 tahun dan sudah kehilangan penglihatan dan sedikit pedengaran kerana sakit kencing manis. Ia sentiasa mengingatkan saya kepada 5 perakara sebelum 5 perkara, iaitu : Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin,(tolong sambung untuk saya).
Kakak saya ini dahulunya seorang guru terlatih selepas perang dunia kedua.. Cerita-cerita zaman pemerintahan Jepun dan Komunis adalah antara yang ia minat bercerita pada cucu cicit semua. Kisah kakak saya menginsafkan diri saya kerana saya juga ada berbagai penyakit dan antaranya ialah tekanan darah tinggi dan kencing manis jua. Doa kami ialah semoga Allah akan terus memberi peluang untuk menyumbang khidmat bakti pada masyarakat sebagai bekalan pulang ke Sana.
Ini pula wajah abang ipar saya, iaitu suami kakak saya yang di atas. Ini gambar bersama anak lelakinya yang gigih berniaga apa jua yang munasabah. Sekarang dia mewarisi bapanya membantu ajen membawa jemaah Haji untuk ke Mekah, termasuk Umrah. Syabas saya katakan padanya kerana Bahasa Arabnya boleh di kira baik memandangkan dia tidak menghadiri kursus formal bahasa tersebut.Beliau tidak ke University tetapi usahanya yang gigih boleh menyaingi mereka yang ke university. Selalu saya katakan, Allah tidak buat dunia kita ini sempit. Jangan kita yang menyempit-nyempitkan.
Ini pula wajah kakak saya yang berumur 71 tahun bersama cucu saudara. Di bawahnya pula gambar suaminya.Alhamdulillah masih mampu berdikari. Mereka tinggal suami isteri sahaja. Suaminya dahulunya seorang guru bebas dan antaranya guru seni lukis dan guru tamn asuhan kanak-kanak dan tadika. Kini telah bersara. Dia seorang peminat Barisan Nasional. Maklumlah di Johor. Tetapi sekarang ini dia tidak begitu sihat kerana kencing manis. Bila berbincang mengenai politik negara, ia senyum selalu. Tidak tahu mengapa. Saya pun tidak bertanya. Mungkin sudah tukar haluan. Mungkin tidak kuat lagi dengan Barisan Nasional. Undi itu rahsia katanya.Saya pun senyum juga.
Ini wajah-wajah keluarga kakak saya yang berumur 70 tahun. Ia masih kuat dan berbuat apa sahaja dalam rumah tangga. Masih mampu masak untuk 15-20 orang. Anak-anak nya semua lelaki. Tetapi jangan terkejut, kalah perempuan dari segi kecekapan mengurus anak dan membantu isteri. Walaupun sudah punya isteri yang cekap-cekap belaka, tetapi bila berkumpul Mak juga yang buat kopi atau milo bagi mereka. Itulah agaknya bukti air tangan emak itu besar pengaruh dan kesannya. Tetapi saya masih kata ini melampau!
Bersambung, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment