Antara agenda Musafir kami di Satun ialah lawatan ke sekolah Agama Swasta. Kami dibawa oleh Zahron berjumpa Ustaz yang mengendalikannya pada jam 10 pagi hari kedua kami di Satun. Ustaz ini mengendali beberapa sekolah dibeberapa daerah, antaranya Satun, Songkhla, Narathiwat dan satu dua yang lain saya telah lupa namanya.
Kami diberi taklimat ringkas mengenai penubuhan dan perkembangannya. Kerajaan Thai memberi bantuan per capita grant dan kami difahamkan ia mencukupi untuk pentadbiran sekolah termasuk gaji guru. Cuma mereka harus mencari dana untuk pembangunan fisikal. Kami tidak cukup masa untuk penerangan lanjut mengenai dana seperti itu. Kami lebih menumpu pada bertanyakan pengisian kurikulum dan ko-kurikum memandangkan ia sekolah Islam ditengah-tengah bumi negara Buddha.
Sekolah ini mengikuti kurikulum sekolah Kebangsaan Thai dari segi ilmu akademik. Tetapi dari segi kurikula Islam, ia di rangka berasingan. Ilmu fardhu ain ditekankan. Guru-guru mesti berkelulusan peringkat sarjana muda dari University yang diiktiraf. Guru besar harus mempunya ijazah Sarjana. Pelajar diajar bahasa Inggeris dan Bahasa Arab tetapi oleh kerana sukar mendapatkan guru yang berkelayakan yang bersesuaian, maka tahap pencapaian kedua-dua bahasa ini kurang memuaskan. Ustaz menerima hakikat itu dan sentiasa berusaha sewajarnya untuk menarik guru-guru yang benar-benar berkualiti dari segi kelulusan dan akhlak Islam.
Pendidikan peringkat TADIKA (mengikut istilah Malaysia) juga ditubuhkan supaya dapat menentukan anak-anak sudah biasa dengan nilai-nilai budaya dan akhlak yang di fokuskan di sekolah ini.
Pengetua berbaju hitam bersama penolonganya.
Sekolah ini juga menerima grant per-capita dari Kerajaan Thai. Sama dasar yang diikuti seperti sekolah yang pertama di atas tadi. Cuma sekolah ini mengambil guru bahasa Arab dari Afrika, iaitu dari Algeria dan Ghana. Pengarah sekolah ini mengatakan bahawa dasar pengambilan guru seperti itu ialah supaya pelajar lebih serious dalam menumpu perhatian kerana guru-guru ini tidak boleh bertutur dalam bahasa Thai. Maka kedua pihak harus berusaha kuat untuk memahami antara satu sama lain.
Kurikulum agama Islam juga di rangka berasingan dan pelajar berada di sekolah hingga jam 4 petang untuk memastikan masa yang cukup dalam pembelajaran. Di kedua sekolah ini tidak ada kemudahan asrama.
Apa yang menarik perhatian kami khususnya ialah Kerajaan Thai tidak mengadakan peraturan yang menghalang pembangunan sekolah-sekolah seperti ini. Asalkan sahaja sekolah-sekolah ini tidak melibatkan diri dalam politik.
Sebenarnya Kerajaan Thai sekarang ini sudah mula membuka kelas-kelas agama Islam di sekolah kerajaan memandangkan ramai ibu bapa yang berlumba-lumba masuk sekolah agama swasta berbanding sekolah kerajaan. Kesedran tentang Islam makin lama makin meningkat. Maka untuk mengelakan ketidak-seimbangan dasar, maka sekolah kerajaan sudah mula menukar sedikit haluan dan ini kami lihat sebagai perubahan dasar yang positif. Semoga Islam akan mendapat tempat di hati setiap individu di masa akan datang. Kini kami diberi penerangan bahawa ramai penduduk yang beragama Islam tidak cukup pengetahuan mengenai Islam dan cara hidup tidak banyak berbeza dari mereka yang menganut Buddha.
Saya akhiri cerita ringkas ini dengan sepotong ayat seperti di atas yang di gantung di Bilik Gerakan sekolah tersebut. Ayat penuhnya seperti berikut.
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
(A-li'Imraan 3:159) | ....
No comments:
Post a Comment