"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan mu, dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah dalam jemaah hamba - hamba Ku dan masuklah dalam Syurga Ku."
"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.
Sunday, November 29, 2015
Jangan bergerak seperti gunting, bergeraklah seperti jarum.....
Sekarang saya sudah tidak aktif dalam NGO. Hanya selepas bersara saya bergerak dan kini sudah kepenatan! Saya nasihatkan anak-anak saya supaya aktif membangun dan membela masyarakat dari umur muda lagi supaya tidak kerugian seperti saya, seperti pohon ini wujud tunggal. Bijak pandai mengatakan, biar kita salah tetapi dalam jemaah dan jangan betul tetapi berseorangan......
Namun dua hari dulu saya hadir perjumpaan sebuah NGO yang menyahut jemputan Biro Muslimah Masjid untuk bersilaturrahim sambil membincangkan beberapa isu yang dihadapi. Mulanya saya menjangka akan ada perbincangan hangat, mungkin juga panas atas dua atau tiga hal yang membuat beberapa ahli tidak selesa duduk diam dan telah membangkitkan pendapat yang mengguris hati beberapa ahli.
Tersenyum sendirian saya apabila melihat cara beberapa ahli yang berpengaruh cuba sebaik mungkin memandu keadaan agar dalam perbincangan tidak ada sesiapa yang mahu menonjolkan diri dalam mengusulkan cadangan yang boleh membawa perpecahan hubungan baik antara dua pihak yang bergerak atas nama kebajikan Islam.
Teringat saya kata-kata orang tua: Jangan bergerak seperti gunting - laju maju kehadapan tetapi akhirnya memisahkan. Biarlah bergerak seperti jarum - sakit menyusuk tetapi akhirnya ia mencantumkan. Indah sekali pepatah ini. Amat tepat pada pandangan saya untuk dipegang oleh mana-mana kumpulan yang mendakwa berbuat sesuatu kerana Allah swt semata-mata.
Dalam apa jua gerakan perjuangan, harus ada keyakinan untuk bersabar dan bertolak ansur dalam melaksana sesuatu. Seharusnya semua ahli tidak keliru dalam memahami asas perjuangan. Dalam senario pergerakan politik hari ini, banyak yang dapat kita buat iktibar. Walaupun sebuah NGO itu kecil dan dan pergerakan aktiviti masjid juga kecil secara relatif, kita harus tahu dan bijak mengenal pasti apa yang benar dan apa yang tidak benar. Allah maha melihat dan maha mendengar. Allah juga maha mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi. Jika kita yakin dan berpegang kuat dengan hakikat ini, maka apa jua perjuangan akan membuahkan sesuatu yang bermunafaat pada ahli dan pada masyarakat dan negara.....dengan izin dan kehendak Allah jua.
Di akhir perjumpaan pada hari itu saya saya rasa amat lega kerana barisan kepimpinan dapat menyatupadukan pendapat yang berbeza. Kalaupun dalam hati sesetengah ahli masih belum ada kepuasan yang sebenarnya, tetapi pada zahirnya semua yang hadir akur pada prinsip-prinsip kerjasama yang di utarakan. Alhamdulilah.
Pokoknya hati mesti bersih, bulat berpandukan tuntutan Allah dan tidak ada kepentingan diri. Insya Allah akan ada pertolongan Allah.
.......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment