"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, November 13, 2015

Silaturrahim di Pulau Babi.....





Dari Satun kami dibawa ke Daerah Trang. Perjalanan dengan Van biasa sahaja dan kami terus ke Jetty untuk ke Pulau Babi.

Terkejut bila diberitahu kami akan ke Pulau Babi.

Kenapa nama Babi. Jangan hairan kata tuan rumah yang membawa kami.Sejarahnya di pulau itu satu masa yang lampau sememangnya banyak babi. Dan babi bukan suatu yang luar biasa dari sudut penerimaan masyarakat Thai. Di Malaysia sahaja rasa pelik akan nama itu.

Jika difikir panjang saya rasa kita tidak perlu rasa ganjil sangat kerana Babi juga adalah makhluk yang Allah cipta. Dan tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia. 

Kami menaiki bot waktu hampir Maghrib dan perjalanan bot tidak sampai sejam lamanya. Saya rakam pemandangan yang indah, walaupun saya sendiri rasa tidak selesa naik bot tanpa "life jackets". Tetapi di Thailand itu perkara biasa.

Kami pergi ke Pulau Babi bersama dengan Ustaz yang saya ceritakan dalam entry saya sebelum ini. Walaupun sudah berumur 58 tahun tetapi ia masih kuat dan cergas. Dia ingin menunjukan sekolah agama Islam swasta yang dibinanya di Pulau Babi itu.



Pemandangan dari Jetty diwaktu senja.





Kami bermalam di Chalet di Sukron Andaman Beach Resort semalam sahaja. Suami saya suka tempat itu dan selepas Suboh duduk mengelamun sendirian di tepi Pantai. Chalet-chalet di sini banyak disewa oleh pelancung "orang putih". Kekadang berbulan lamanya kata penyelia resort itu. Heran juga saya mendengarnya. Mungik elok juga kita tahu apa tujuan mereka......

Pulau Babi ini hampir 95% penduduknya adalah orang Islam. Tetapi kita susah membezakan dengan yang bukan Islam kerana di daerah-daerah yang kami lawati ramai yang belum menutup aurat. Dan kami diberitahu sebab itu Ustaz amat bergiat untuk membina sekolah dimana ada peluang dan ruang. Semoga usaha ustaz Allah berkati.

Malam itu kami makan di rumah Ustaz yang ada di Pulau, dan esuknya kami bersilaturrahim dengan penduduk tempatan. Kami makan pagi di warung seperti yang banyak wujud di Pulau itu. Ramai yang tahu berbahasa Melayu Thai. Saya tidak faham sepenuhnya tetapi seronok berjenaka bersama. Beberapa pelanggan bertanyakan khabar kami dari mana. Mareka nampak seronok bersalaman.



Hidangan pagi hampir sama di mana-mana. Ada kuih muih dan ada meehoon dan nasi berbagai cara masakan. Saya hanya pilih kuih muih dan berkongsi mee hoon dengan suami saya. Harganya sangat berpatutan dan teteman saya yang lain nampak enjoy menjamu selera.

Kami menaiki kenderaan teksi motorsikal dimana 3 atau 4 orang boleh duduk jika tiada barang. Saya sangat teruja menaikinya. Kadang kala laju dan ia membuat saya khuatir. Teringat saya kembara di Sudan menziarah anak saya yang belajar Bahasa Arab di sana awal tahun 2000. Pengakutan yang penduduk biasa guna juga hampir serupa itu. Teksi beroda tiga dan pemandunya selalu memandu laju. Ada yang pernah terbalik. Itu membuat saya takut.




Selepas makan dan sembang-sembang kami menuju ke Sekolah yang dibina oleh Ustaz. Bangunannya cantik seperti sekolah kerajaan di Malaysia. Malangnya sekolah ini terpaksa diberhentikan buat sementara waktu kerana satu blok bangunan itu telah dibina di atas tanah kerajaan tanpa disedari. Satu perundingan sedang dijalankan untuk menyelesaikan masalah yang ada. Semoga berjaya.

Sayang sekali. Begitulah akibatnyan jika sistem pentadbiran belum dapat mengesan data-data yang ada. Namun Sekolah ini di gunakan seminggu sekali oleh Ustaz untuk mengajar orang-orang dewasa yang sememangnya amat memerlukan majlis ilmu di Pulau itu. Ustaz menjemput pensyarah atau guru yang lainnya juga kerrana ia teramat sibuk. Sekolah ini dibina denagan bantuan Kerajaan Kuwait dan kerajaan Thai memberi per capita grant seperti sekolah-sekolah agama swasta yang lainnya.

Maka saya katakan pada suami saya dan teteman yang ada bahawa inilah yang perlu kita bantu dengan apa jua cara yang boleh. Mungkin kita boleh ceritakan pada orang-orang kaya di Malaysia untuk membantu Islam di daerah ini. Mereka semua saudara kita. Kami amat menginsafi diri dan semoga Allah menunjuki jalan menuju redhaNya.





Kami dihidangkan makan tengah hari awal hari itu oleh keluarga Ustaz kerana kami harus beredar ke destinasi yang lainnya. Ustaz juga sibuk kerana ia harus ke Narathiwat bertemu dengan pihak yang boleh membatunya dalam usaha mencari dana pembanunan sekolah.

Selepas makan kami putar-putar dengan teksi motosikal keliling Pulau Babi. Kami berhenti meninjau-ninjau kegiatan orang pulau yang ramai menjadi nelayan.  Satu pengalamn yang luar biasa buat saya dalam umur lanjut sebegini. Dapatlah, insya Allah, saya berpesan-pesan pada anak cucu apa erti berusaha, bersabar, bersyukur, berdoa dan bertawakal. Kita di Malaysia kadang-kadang leka dibuai kemewahan dan perlu disedarkan betapa kita alpa tentang tanggongjawab kita dengan rezki yang melempah ruah berbanding orang Islam di Thailand. Namun mereka lebih gigih membangunkan Islam memandang mereka kaum minoriti di Negara Thai yang bukan negara Islam.

Semoga Allah menurunkan Rahmatnya yang tidak terhingga. Aamiin.....




Selamat tinggal Pulau Babi.
Kami menaiki bot waktu hampir tengah hari kembali ke Tanah Besar untuk ke Krabi.

.......

No comments:

Related Posts with Thumbnails