"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, October 28, 2010

DARJAT

 

melihat perbezaan darjat
seperti melihat langit dan bumi 


Saya teringat cerita "Dua Darjat" apabila Ustaz saya bercerita mengenai konsep darjat manusia di sisi Allah. Orang Melayu kita (dan saya rasa ramai ahli masyarakat di mana jua)  sangat terpaut dengan fenomena darjat diri dan kededukannya dalam masyarakat. Mengapa begitu agaknya?

Pengalaman saya mengenai darjat agak "menyedihkan" ketika saya   kecil dan remaja. Saya keturunan Jawa dan selalu diejek-ejek katanya Jawa makan katak kering. Tidak ada siapa membela saya dan saya pun tidak pandai membela diri. Kata-kata itu terkesan dihati ketika itu, amat terkesan sekali. Tambahan pula saya menolong kakak saya jual pisang goreng di sekolah. Emak kata boleh beli buku dan pensel kalau untung. Saya patuh. Tambahan pula saya lihat di sekeliling saya ramai yang berpakaian eluk ke sekolah. Tetapi saya tidak.  Saya pakai uniform turunan kakak saya. Emak tidak mampu untuk beli yang baru. Kalau tidak diejek Jawa makan katak kering, pakaian tidak menjadi hal kerana budak lain pun ada yang sama-sama miskin.

Saya " membela diri" dengan rajin berlajar dan dapat keputusan peperiksaan setanding dengan mereka "yang tidak makan katak kering", Malah dalam banyak hal saya lebih baik.(alhamdulilah, tetapi ketika itu tak pandai  memuji Allah). Saya Jawa, cakap Melayu pun pastinya ada 'slang' Jawa, Tetapi saya dipilih menjadi Chairman The Malay and English Literary Debating Socierty semasa Sekolah Menengah di Pontian. Saya Deputy Captain  dalam Rumah Sukan. (Captain mesti lelaki) dan beberapa jawatan lain. Kalau mengimbau kembali masa itu saya kata pada kawan-kawan: Kalau dulu "tak makan katak kering" agak nya saya 1st class student. Entah-entah boleh jadi "perdana Menteri" .he..he..Orang-orang keturunan Jawa di Pontian rasa agak boleh "action" bila Allahyarham YB Sardon Zubir jadi Menteri Pengangkutan  dalam tahun  enam-puluhan. Dia juga keturunan Jawa. Saya percaya  apa yang berlaku antaranya ialah takdir dan kehendak Allah. Tetapi ada juga yang disebabkan kelemahan kita sendiri. Semoga Allah mengampunkan.

Lagi mengenai Darjat.
Semasa bekerja dahulu, jawatan akhir saya ialah ketua Bahagian Sumber Manusia. Maka antara tugas saya ialah "memproses Pemberian Darjat"  atau "Anugerah bintang kebesaran"  kepada pegawai-pegawai yang layak. Ini pengalaman yang saya suka dan tidak suka, kerana proses pemilihan kadang-kadangnya rumit. Ia rumit sebab ada kalanya saya kena periksa semula latar belakang pegawai hingga keakar umbi. Banyak hal-hal yang sensitif.  Itu antaranya. Yang lain tidak perlu saya cerita di sini.

Bintang kebesaran adalah antara petunjuk atau simbol seseorang itu berdarjat atau tidak dalam masyarakat kita. Di dalam majlis-majlis rasmi ini nampak jelas sekali. Yang saya tahu ini tidak dilarang dalam Islam. Biasanya mereka yang dianugerah bintang kebesaran adalah orang yang berjasa pada masyarakat dan negara. Dan biasanya jugalah mereka ini sudah pun termasuk dalam golongan elite kerana taraf pendidikan mereka, atau jawatan yang mereka sandang  atau kedudukan mereka dalam syarikat yang banyak menyumbang pada pembangunan negara. Tetapi saya perhatikan jarang sekaling mereka yang dianugerah bintang kebesaran ada  kaitan dengan " taraf pengabdian"  pada Allah swt. Ini susah diukur, kata kawan sejawatan dengan saya. Nanti yang bukan Islam bagaimana pula.  Maka sebab itulah dia tidak menjadi kriterior penentu layak atau tidak layak. Kriterior akhlak sememangnya ada secara tidak langsung. Mereka yang pernah dikenakan tindakan tatatertib tidak akan dipertimbang.

Sehubungan ini saya terfikir-fikir tetekala menjalankan tugas, sama ada peanugerahan bintang kebesaran boleh membuat seseorang lebih rajin bekerja. Kadang-kadang saya terfikir juga, adakah anugerah darjat seperti ini menjadi "counter productive" pada diri, pada sistem pengurusan organisasi dan pada masyarakat?  (Iaitu  adakah ia merugikan ?) Saya tinggalkam pembaca di sini untuk meneruskan pemikiran sendiri...........
Saya tinggalkan 'fikir zikir' di sini kerana Salman Rushdie, pengarang buku (The Satanic Verses) pun mendapat bintang kebesaran.....

Cuma saya ingin berkongsi erti Darjat seperti yang tersebut dalam alQuran. Beberapa lama dahulu, dalam sessi pengajian mingguan, Ustaz cerita mengenai darjat di sisi Allah swt. Terpaku pemerhatian minda dan hati saya. Mula-mula Allah sebut orang yang paling hina di sisiNya:
"Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa  yang paling buruk dalam pandangan Allah ialah mereka yang tuli dan bisu (tidak mendengar dan memahami kebenaran). Ia itu orang-orang yang tidak mengerti/ berfikir."   maksud ayat 22 surah al Anfal.
( Ia itu orang-orang yang telah diberi deria penglihatan, pendengaran dan akal untuk berfikir tetapi mereka tidak memunafaatkannya.)
Kemudian Allah memperkatakan tingkat-tingkat umat Islam yang menerima alQuran.
 "Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih diantara hamba-hamba Kami, lalu diantara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada pula yang terlebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu adalah kurnia yang besar."
maksud ayat 32 surah Fatir 
(menzalimi diri sendiri adalah orang yang lebih banyak kesalahannya daripada kebaikannya, dan "pertengahan"  adalah orang-orang yang kebaikannya sama dengan kesalahannya, sedang yang dimaksud "orang-orang yang lebih dahulu dalam berbuat kebaikan" ialah orang-orang yang kebaikannya sangat banyak dan sangat jarang berbuat kesalahan.)

Ayat di atas kata Ustaz menunjukan bahawa ada 3 kategori golongan manusia yang selamat dari kekal dalam neraka. Yang rendah sekali ialah orang yang menzalimi diri dan yang tinggi sekali dari segi tidak kekal lama dalam neraka ialah yang menejar kebaikan. Sesekali mereka tergelincir tetapi mereka kembali. Jika tiada bertaubat dan Allah terima taubat maka kita akan merasai neraka dahulu. (na'udzubilah) Semoga Allah pelihara kita.

"Dan barang siapa mentaatiAllah dan Rasul, maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah (iaitu)para nabi, para pencinta kebenaran (yang sentiasa membenarkan yang Hak), orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh."  
maksud ayat 69, surah An Nisa.
Ayat ini pula menunjukan golongan orang yang akan selamat sepenuhnya dari masuk dalam neraka. Walaupun yang paling rendah ialah orang-orang solihin, tetapi kita rebut-rebut untuk jadi orang yang soleh. Walaupun "darjat" rendah berbanding  siddiqin dan syuhada, tetapi kita masih sepenuhnya dalam Rahmat Allah. Di bawah ini ditunjukan  dalam alQuran mengapa kita berkejaran untuk menjadi orang yang soleh.
"Dan infakanlah sebahagian dari apa yang telah kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang diantara kamu; lalu dia berkata (menyesal), 'Ya Tuhan ku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian) ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh, Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah maha teliti terhadap apa yang kamu lakukan."      Maksud ayat 10 dan 11 Surah Al Munafikun
 Itulah darjat manusia disisi Allah.
WaAllahua'lam. Kita zikir fikir. Semoga kita tergolong dalam darjat pilihanNYA.
Dengan RahmatNya jua.

No comments:

Related Posts with Thumbnails