Seperti baru semalam cucu saya yang sulung , Ujai namanya, pulang dari Tokyo bersama ibunya yang telah tamat pengajian lanjutan. Ketika itu ia masih belum fasih bercakap dan hanya tahu beberapa perkataan sahaja. Kini telah lima tahun dan telah "bersekolah".
Sekarang sudah petah bercakap dan pandai "menjawab" kalau di tegur akan perilaku yang agak tidak sopan. "Maaf Tok Ayah," atau "maaf Embah," tetapi akan mengulangnya lagi.
Siapa pun saya rasa akan seronok dengan cucu. Suami saya akan "marah" ibunya kalau ia terlalu marahkan Ujai, seperti Ujai tidak ada salahnya. Kemana Tok Ayah pergi mesti nak bawa Ujai. Walhal Tok Ayah sudah tidak terdaya mengejar Ujai kalau Ujai terlepas ke tempat-tempat bahaya. Ujai pun suka ikut sebabnya saya rasa kerana ia pasti dapat beli 'mainan" yang ia pilih sendiri.
Tempuh hari kami ke kukup laut, di Pontian Johor bersama menantu baru dan adik-adiknya. Kami ke Tanjung Piai. Ujai seronok berlari-larian hingga terlepas dari pengawasan anak saya. Ia rasa agak panik. Rupanya ia balik dahulu ke tempat kami menunggu. Kami pun terperanjat kerana tempat itu sunyi kerana tidak ramai penunjung.Kalaulah ia memanjat dan terjatuh ke laut.....Semoga Allah memelihara.
Tetapi Ujai agak penakut, takut melihat monyet-monyet berkeliaran mencari makan. (Itulah silap manusia. Mereka membangunkan kawasan tetapi lupa akan kepentingan bintang liar. Tidak hairanlah gajah mengamuk disetengah-setengah tempat. Islam menuntut kita berlaku adil, walau pun pada binatang.)
Antara pemandangan yang kami rakam, termasuk tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan.
Selain daripada fakta bahawa Tanjung Piai adalah tanah penghujung paling selatan di benua Asia, tidak ada yang istimewa pada pendapat saya sebagai pelancung. Kerajaan negeri atau perbadanan pelancungan seharusnya berbuat sesuatu untuk menjadikan tempat itu lebih menarik dan lebih bermakna. Mungkin bila Ujai besar nanti, dan apabila ia membaca blog ini, ia boleh berbuat sesuatu. Semoga Allah memberi Ilham padanya jika itu yang baik sebagai amal ibadah.
Sementara itu biar Tok Ayah berseronok dengan karenah cucunya, Ujai.
No comments:
Post a Comment