Apabila duduk termenung memikirkan hidup di 'tanah air' sendiri kebelakangan ini, makin rasa seperti sudah jauh lari dari rancangan awal untuk mengejar 'impian abadi'. Makin hari makin seperti awan mendung berarak rendah dan saya memerhatikan sendiri langit mula menghitam. Tiupan angin makin kuat dan kebarangkalian akan hujan lebat hampir pasti. Jika berlaku semoga tidak mengundang banjir lebih besar dari yang pernah dialami dan mengakibatkan bencana yang luar dugaan. Masih terpaku ingatan betapa susah dan sulit hidup ini jika hilang haluan, hilang tempat pautan.
Semoga Allah melindungi dari berlaku. Begitulah ibaratnya kemelut pertarungan dan pertaruhan ekonomi dan politik dalam negara ini sekarang.
Kata pepatah budaya Cina: Ikan busuk dari kepalanya. Ia juga bererti sesuatu organisasi, sama ada keluarga, syarikat atau negara, kebobrokan dan kepincangan bermula dari masaalah kepimpinannya. Contoh mudah pada organisasi keluarga. Sekiranya ibu dan bapa berakhlak mulia, berwawasan yang syar'ie dan rajin berusaha tanpa mengira penat lelah, bijak mengurus anak-anak dan pendidikannya terjaga, maka besar kemungkinan keluarga itu akan berjaya dan bahagia dunia akhirat dengan izin dan kehendak Allah yang sentiasa memerhatikannya. Jika tidak keluarga itu akan sentiasa dilanda kesulitan-kesulitan hidup yang kadang kala mendorong kepimpinan keluarga membuat keputusan dan mengambil tindakan yang akhirnya memusnahkan keharmonian hidup bersama.
Di negara kita sekarang saya merasakan kecelaruan Pentadbiran peringkat atasan sedang berlaku, terutamanya yang sedang hangat sekarang ialah di bidang ekonomi dan keselamatan negara. Saya bukan ahlinya maka saya hanya ingin berkongsi apa yang terasa didada. Penat juga memikirkannya kerana bimbang anak cucu yang masih muda dan masih kecil lagi..... bagaimana masa depannya.
Isu kewibawaan pemimpin amat saya geruni kerana jika Allah mahu menurunkan kesususahan atau musibah, semuanya akan merasainya. Saya berdoa apa yang sedang berlaku hanya merupakan satu impian ngeri dan hakikatnya tidaklah seperti yang dikhuatiri.
Dalam sejarah berbagai bangsa dari beberapa abad yang lalu sudah kita maklumi bagaimana kerajaan boleh runtuh dalam kemelut perebutan kuasa. Kita maklumi juga bagaimana negara boleh menjadi miskin dan papa kedana kerana pengurusan sumber ekonomi tidak diurus dengan rasa tanggongjawab oleh mereka yang diberi amanah untuk mengurusnya. Berbagai lagi yang sudah kita ketahui. Bunuh membunuh pun berlaku dan revolusi oleh rakyat menjadi fenomena untuk menyekat kebebasan dan menjadikan hidup harian seperti hidup dalam penjara terbuka.
Rata-rata boleh kita rumuskan bahawa keruntuhan negara adalah disebabkan oleh nilai hidup yang dipegang oleh manusia yang tidak mengenal siapa Tuhannya dan tidak percahaya bahawa hidup ini bukan berkesudahan di sini sahaja. Justeru untuk damai dan selesa kita harus kembali pada hukum Fitrah yang telah di gariskan oleh yang maha Pencipta. Jangan tunjuk pandai mengikut rasa hati dan pemikiran sendiri dan merasa angkuh dan sombong mendabik dada dengan kekayaan diri dan kuasa yang dimilikinya.
WaAllahu'alam. Saya manusia dan rakyat biasa. Semoga Allah belum murka yang tidak ada peluang dan ruang bagi kita untuk kembali padaNya.
Ya Allah lindungilah kami dari musibah menimpa. Ampunilah kami dan tunjukilah kami jalan-jalan yang membawa pada RahmatMu semata-mata.
Aamiin ya Rabb.....
.....
No comments:
Post a Comment