"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, May 28, 2015

Pontian...bukan sekadar di hujung dunia.


Hari ini nama Pontian makin diketahui di mana letaknya. Dari Johor Bahru kalau ingin ke Tanjung Piai pun ramai yang akan melalui Pontian @ Pontian Kecil. Tanjung Piai itu letaknya di "Southern most tip of Asia". Kalau berada di situ bererti kita sudah berada paling selatan di benua Asia. Boleh rasa takjub dan rasa hebat.....




Saya berasal dari Pontian. Lahir dan di besrkan di Pontian. Kini sudah menetap di Petaling Jaya Selangor sejak mula bekerja dalam tahun 1974.

Sudah terlalu lama berhijarah.

Saya masih ada kakak dan sanak saudara di Pontian. Akhir sekali ke Pontian ialah awal tahun ini. Pontian dalam foto itu saya rakam semasa saya balik kampung dalam tahun 2010 dan untuk pertama kalinya ke Tanjung Piai. Pada saya Tanjung Piai cuma "indah kabar dari rupa". Tidak dibangunkan dengan baik ketika itu. Entahlah sekarang ini.....






Antara pemandangan di Tanjung Piai pada 2010.

Kini Pontian terkenal juga kerana Timbalan Menteri Kewangan  katanya adalah wakil rakyat Pontian di Parlimen yang sekarang banyak diperkatakan kerana "kebijaksanaannya" menjelaskan hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi negara. Terkejut saya bila saya difahamkan YB itu dari pontian dan seorang yang berkelulusan baik di University. Ada yang berkata sendirian....biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya.....Apa maksudnya saya kurang arif. Dan banyak sekali hal yang saya kurang arif mengenai kemerosotan ekonomi negara hari ini. Ada yang mengatakan kerana kewangan negara tidak di urus dengan baik. Tidak saya tahu.....

Namun tidaklah boleh kita menyalahkan seseorang kerana kekurangannya. Beliau  mungkin belum mendapat pengalaman sewajarnya dan belum diberi pendedahan secukupnya. Maka kita tunggu lihat kerana saya yakin pastinya ia akan membuat perubahan menepati tanggongjawabnya.

Cuma hari ini saya  merasakan sahaja kesannya sebagai rakyat yang kini sudah lama bersara dari perkhidmatan awam. Agaknya kalau saya masih bekerja beranikah saya berkata sesuatu mengenai kemelut ekonomi yang ada sekarang. Atau saya sama juga akan menikus.... sebab ramai bijak pandai dan orang politik pun hanya diam menikus. Masing-masing dengan sebab masing-masing dan kepentingan masing-masing. Kita dengar dan lihat......

Anak saya masih dalam perkhidmatan awam dan sering saya tanyakan apa reaksi pegawai awam mengenai kemelut ekonomi sekarang? Ia hanya senyum dan ada kalanya gelak dan berkata: "Mak bukan tak tahu sistem kita......."

Anak saya takut untuk berkata lanjut......!!!

Pada hari Selasa yang lepas saya bersama-sama hadir dalam majlis reunion murid-murid tua Sekolah Sri Perhentian di Pontian. Semasa saya meninggalkan sekolah saya, Pontian Government English School, dalam tahun 1964 selepas tingkatan lima, Sekolah Sri Perhentian Pontian baru bermula. Saya di jemput hadir kerana perjumpaan itu di adakan di dewan orang ramai di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya dan saya adalah antara jemaah di situ.

Ahli yang hadir adalah lebih 10 tahun muda dari saya dan saya hanya memerhati dan mendengari sembang santai mereka. Tidak ada yang bercerita hal negara. Ramai yang bercerita hal keluarga dan yang di sekeliling saya bertanyakan hal keluarga warga tua. Yang hadir lebih kurang 30 orang dan semuanya santai belaka. Tidak ada nama yang bergelar Dato atau Datin dan yang sepertinya. Saya berfikir agaknya orang Pontian suka duduk di pinggiran kerana itu lebih selamat dan selesa. Maka mudahlah YB Timbalan Menteri Kewangan itu mendapat laluan.  "Kepintaran" beliau tidak  ditandingani. Tetapi mungkin juga ada fakta-fakta lain.........Ustaz selalu berpesan jangan suka buruk sangka. Tidak ada manusia yang tidak ada kelemahan dan kekurangan. Semua kita ada masaalah yang zahir dalam berbagai bentuk. Ini termasuk saya.


Alahai Pontian......
Hanya bersantai di tepian laut. 
Rasa terkilan dan rasa bersalah juga menjadi rakyat Pontian
yang terkenal kerana sesuatu yang tidak menggembirakan.
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan  kaum itu yang berusaha mengubahnya. Hasil diakhirnya adalah hak mutlak Allah semata-mata.
Semoga anak cucu kaum kerabat saya sedang memikirkan.
Saya mendoaka semoga Pontian bertukar haluan, menepati tuntutan Fitrah yang Allah tentukan. Pimpinlah kami ya Rabb...

....

No comments:

Related Posts with Thumbnails