Kita mengemis dengan Allah swt. Kita mengemis kasih sayangNya, mengemis padaNya semua yang kita perlukan sebagai manusia ciptaanNya yang lemah lagi amat fakir dalam semua segi. Rasa tidak layak,.......Namun hanya padanya kita bergantung harapan dan cukup sudah Allah sebagai pelindung. Dia yang maha gagah perkasa.
Itu rintihan hati yang terpaku pada sanubari terutamanya apabila saya mengikuti perkembangan derita rawatan sakit anak saudara saya di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru baru-baru ini. Ia sudah pulang kerahmatullah hari Rabu 20 Mei yang baru lalu setelah hampir dua bulan menerima rawatan rapi. Satu peristiwa yang amat berbekas di hati saya. Sudah suratan Takdir yang maha Pencipta. Tidak sesaat awal dan tidak sesaat lewat. Sabab-musababnya ialah sakit diabetis yang kronik. Subhanallah.
Saya tempatkan diri saya seorang pengemis yang amat memerlukan pertolongan semoga anak saudara saya ini mendapat belas ihsaNYA yang luar biasa. Semoga ia sembuh seperti sedia kala adalah harapan menggunung dalam hati saya. Namun apakan daya. Saya rasa amat insaf dan rasa amat kerdil di sisi Allah. Semoga Allah menganugerah yang terbaik buatnya dan Allah meredhainya, mengampunkan segala dosa-dosanya dan menempatkan Ruhnya bersama Ruh para solihin.
Dia anak saudara tetapi ia juga adalah teman akrab sebab kami sebaya umur kerana dia anak kakak yang sulung dan kami membesar bersama di bawah satu bumbung kerana kakak sulung saya tinggal bersama Emak setelah berpisah dengan suaminya. Kami pergi sekolah bersama, main bersama, menolong kerja rumah dan kerja kebun bersama-sama. Walaupun kami tinggal berjauhan setelah masing-masing bekerja dan berumah tangga , kami tetap rapat mesra.
Kini saya rasa amat kehilangan. Foto di atas itu mengingatkan saya rupanya yang tenang menanggung sakit dengan senyap-senyap. Seperti ibunnya (arwah kakak sulung saya) ia tidak menyusahkan anak-anaknya.Tidak kedengaran mengeloh mengenai sakitnya, maka apabila perlu ke hospital keadaanya sudah amat tenat. Semoga ia menjadi penghapus semua dosa-dosanya dan Taman-taman Indah menantinya. Semoga kami bertemu di Syurga Firdaus tanpa hisab dengan Rahmat Allah semata-mata.
Aamiin ya Rabb......
Belum selang beberapa hari saya menemui Doktor pakar di IJN (Institut Jantung Negara) saya mendapat berita yang amat memilukan hati saya. Berita yang menggembirakan saya mengenai jantung saya tenggelam begitu sahaja kerana amat rungsing memikirkan kemungkinan saya akan kehilangan anak saudara saya ini. Semoga Ketentuan Allah adalah yang terbaik baginya. Setiap yang hidup pasti mati. Itu disebut dalam alQuran. Tiada siapa yang dapat melarikan diri. Orang-orang solih bertaraf moqqarrabiin tidak risau menghadapi mati. Saya sendiri masih rasa takut.........
Walau pun saya rasa lega dan bersyukur jantung saya tiada masaalah, namun saya tidak melupai hakikat bahawa Kita mati maka Jantung berhenti dan bukan Jantung berhenti maka kita mati. Kematian tidak menanti tua atau muda, sakit atau sihat. Maka kita sentiasa diingatkan supaya sentiasa bersedia. Semasa pemeriksaan di buat sebulan yang lalu saya amat khuatir kerana saya manusia biasa. Banyak tanggong jawab yang belum selesai dan rasa belum sempurna memenuhi syarat-syarat Pengabdian pada yang maha Pencipta. Hati ini masih selalu alpa, masih selalu terjebak-jebak dengan hal-hal yang tidak ada nilai tambah untuk mendekatkan diri padaNYA.
Maka setiap hari saya mengemis....
Minta diampuni, disayangi, minta diredhai olehNYA.Semoga sejahtera abdi dalam pelukan RahmatNYA.
Aamiin Ya Rabb....
.....
No comments:
Post a Comment