WALAUPUN KETURUNAN JAWA, MALAYSIAKU INDAH
Masih belum puas menulis sentimen anak keturunan Jawa. Bukan apa..... Dua hari dulu biras ku yang berkerja sebagai guru memberi tahu bahawa ada kemungkinan Kementerian Pendidikan akan mewajibkan semua pelajar lulus Bahasa Inggeris untuk mendapat sijil penuh. Agak terkejut juga bila mendengarnya kerana takut pelajar di kampung-kampung seperti aku dulu akan menjadi mangsa. Kalaulah dasar ini dilaksanakan, semoga kementerian sudah menyediakan guru yang terlatih yang cukup bilangan nya, dan boleh di hantar kemana-mana mereka diperlukan. Kerana aku tahu dahulu semasa aku berkerja di kementerian ,bilangan guru yang terlatih yang duduk di bandar-bandar memang ramai kerana ikut suami.
Aku masih ingat pada masa dulu, baru saja lepas Merdeka, kita semua sekolah Inggeris, walaupun mulanya sekolah Melayu. Kebetulan yang mengajar aku isteri guru besar yang ketika itu dari Australia.Dia pandai bercakap Melayu. Tapi sangat garang. Jadi kerana takut, aku hafal sahaja apa yang dia ajar, walaupun kadang kala tak faham. Tetapi aku dapati sistem yang aku buat sendiri macam berkesan untuk diri ku. Dari situ aku dapat ingat perkataan-perkataan dan bagaimana menggunakannya.
Dan bila orang Melayu sendiri mengajar, aku guna sistem yang sama. Ini semacam jalan pintas. Tetapi rasanya sistem ini tak ikut pedagogi dan lain-lain teknik pengajaran dan pembelajaran.
Apa yang aku ingin kongsikan di sini pasal belajar bahasa "orang putih" ialah perlunya ada guru yang penuh dedikasi. Semasa di sekolah rendah guruku gunakan rotan untuk yang tidak mahu mencuba. Dia guru Melayu tetapi tak mahu cakap melayu.Cik Gu Hifny namanya, sekarang telah meninggal. Kami kena denda kalau cakap Melayu. Ditingkatan tiga aku mendapat seorang guru keturunan China yang baru lulus University. Dia amat baik hingga sekarang, Miss Tan Lee Kiang namanya. Bagi budak-budak miskin macam aku dan beberapa budak Melayu (Jawa) lain, dia pinjamkan buku sebab Library di sekolah pun tak ada buku yang mencukupi. Aku masih ingat tiap-tiap minggu mesti habis baca buka Enid Blyton. Kemudian Cik Gu akan tanya di kelas apa yang disebut dalam buku itu. Tapi aku guna teknik aku juga. Aku hafal ringkasan yang sudah tertulis di buku itu. Tukar sikit-sikit aje. Dia tahu aku menghafal. Tetapi sekurang-kurangnya dia tahu aku berusaha. Sebenarnya aku menghafal semua subject, terutamanya history dan Geography.Jadi dalam periksa Senior Cambridge waktu itu aku boleh dapat credit 6 dalam Bahasa Inggeris. Walaupun 6 aku rasa puas sebab aku "Jawa kampungan" berasal dari tepi hutan tapi boleh cakap orang putih. Tapi Sastera Inggeris aku dapat credit 5. Agaknya fluke. Fluke tak fluke ke aku dipilih jadi Pengerusi English and Malay Literary and Debating society di sekolah itu. Agaknya sebab dipilih aku hentam keromo bila bercakap. Tetapi bila menulis kucar-kacir. Tak kiralah aku sekarang boleh bercakap dengan agak baik, alhamdulillah. Agaknya rahsianya ialah keturunan Jawa suka memberanikan diri. Jadi di sekolah aku menonjol walaupun tak pernah dapat "A", dan tak dapat Grade Satu pun.Tapi tak rasa malu. Ini Jawa yang tak tahu rasa malu.
Tapi kalau cerita pasal guru, dulu dan sekarang lain. Sekarang kena beri bayaran insentif, baru ada semangat hendak berbakti. Tapi rasanya pasal cerita hendak berbakti pada rakyat, semangat itu sekarang sudah jauh luntur. Ramai yang memandang kebendaan. Rakyat Malaysia sudak salah didikan. Berapa kerat agaknya yang benar-benar ikhlas berkerja untuk berbakti. Kalau sekarang disebut berkerja kerana Ibadah.Agaknya boleh dikira dengan jari, dari peringkat atas hingga ke bawah, tidak kira bidang profesyen apa.Tapi pemerhatian ini mungkin tidak tepat kerana tidak ada bukti kajian dibuat. Hanya pemerhatian rambang.
Mungkin yang menjadi masaalah sekarang bukan budak keturunan Jawa tetapi mungkin anak-anak keturunan orang Asli. Aku berpengalam menjadi sukarelawan asrama anak-anak orang Asli. di Kuala Lumpur. Sememangnya mereka bermasaalah. Lagi bermasalah jika dibanding dengan anak-anak keturunan Jawa yang duduk di tepi hutan seperti aku dulu.
Tak tahulah apa yang akan terjadi.Usahaku sekarang ialah membantu sebuah NGO (Pertubuhan Mawaddah Malaysia) melaksana secara sukarela program ENGLISH IS FUN untuk anak2 keluarga pendapatan rendah di kawasan Shah Alam. Di sini kami tekankan untuk berani bercakap dalam bahasa Inggeris walaupun salah-salah. Teringat pengalaman semasa kecil dulu. Walaupun dibuat secara kecil-kecilan kerana kekurangan kewangan, ibu bapa amat menghargai usaha kami dan menhantar anak-anak walaupun berjalan kaki.
Semoga Allah terus membantu dan memberkati usaha ini dan anak-anak Melayu Islam (ada lagi ke Jawa?) akan mendapat tempat yang sewajarnya di dunia dan sejahtera di akhirat.
2 comments:
salam auntie.
sy aper NGO tu buat adalah satu usaha yang sgt baik.... pls, tell us more abt it...
Dear kitty,
If you happened to be in Shah Alam and have half a mind to participate, call me 019 2160064. Bila berjalan satu lagi program I will call you to see it. Thanks for the interest.
Post a Comment