"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, July 13, 2009

WARGA KOTA DAN SESSI TAI CHI NYA........

Wirid selepas Solat Subuh amat terhad sekali kerana mengejar sessi Tai chi jam 6.30 pagi. Selalu sahaja hati ini berbelah pagi, hendak ke masjid bersama suami untuk solat berjemaah atau ke Taman Aman untuk Tai chi bersama wanita yang sebaya untuk kesihatan diri. Kadangkala hati kecil ini mengatakan kalau ikut Tai Chi dan dapat kawal kesihatan diri, belum pasti kesihatan itu berpanjangan , wal hal mati itu pasti. Bila bincang dengan kawan, ada yang mengatakan ikut lah Tai Chi kumpulan Masjid yang bermula jam 7.15 pagi. Tetapi di Masjid quality Tai Chi nya tidak seperti di Taman Aman. Di Taman Aman Si Che nya wanita keturunan Cina yang mendapat training bertauliah.Amat rasa berkesan hasilnya.

Fikir punya fikir, sessi Tai Chi jam 6.30 pagi dapat keutamaan. Keputusan ini beasaskan fakta yang mengatakan kalau badan sihat, peluang beribadah berpanjangan mungkin lebih terjamin. Ini mengikut logik fikiran. Bila Allah nak panggil kita, belum tahu lagi. Tetapi dihati berdoa semoga Allah ganti dengan waktu dan peluang lain untuk pengabdian yang lebih mantap.

Sessi Tai Chi di Taman Aman terdiri dari wanita Cina majoritinya. Rata-rata umur mereka lebih dari 65 tahun. Hampir setengah yang berumur lebih 70 tahun. Sessi Tai Chi ini sudah berjalan lebih 17 tahun dan diri ini menyertainya dalam 5 tahun kebelakangan ini. Ada 2 atau 3 orang yang lebih 80 tahun. Tidak ada wanita Melayu yang berTaichi dalam umur itu. Mungkin di rumah dan mungkin masih ditikar solat setiap jam 6.30 pagi.

Adalah diperhatikan setiap hari (pada hari-hari berkesempatan berTaichi) ahli masyarakat yang datang berexercise ramai sekali dari keturunan bukan Melayu, yang muda atau yang tua, pada jam 6 .30 pagi atau lewat darinya. Tidak tahulah pula kalau orang Melayu berexercise dijimnasium dimana lebih professional dan lebih selesa. Atau mungkin kerana orang Melayu lebih berfokus pada ibadah khusus dan tidak mementingkan ibadah menjaga kesihatan. Saya pun kurang tahu.

Ada juga yang mengatakan senaman TaiChi tidak nampak berkesan kerana gerak gerinya amat lembut dan perlahan. Saya pun mulanya beranggapan demikian dan jenuh kawan saya mengajak saya masuk kumpulan ini barulah saya mencuba. Belum buat belum tahu. Rupa-rupanya betul kata pakar Taichi. Nampak macam gerak geri yang tidak bermaya, tetapi jangan terperdaya. Ia amat berkesan kerana sekali gos exercise pernafasan juga terjaga. Jadi saya sukalah kalau orang-orang Melayu mencubanya, terutama kumpulan warga yang sebaya saya.

Saranan saya ini cuma untuk warga kota. Di Kampung-kampung biasanya mereka berkerja di sekeliling rumah mereka dan tak perlu mengejar masa bersessi seperti yang saya kata. Kakak-kakak saya di Pontian cuma menjaga pokok-pokok ditepi-tepi rumah tetapi nampak sihat juga. Kakak saya seorang berumur 69 tahun dan yang seorang berumur 72 tahun. Masih pantas berjalan, alhamdulillah. Lumrah lutut sakit-sakit tetapi secara keseluruhannya mereka lebih cergas dari saya. Kalau kenduri setakat 30 orang tak perlu panggil katerer. Sendiri buat masih bermaya.Dapat pertolongan dari jiran sebelah rumah sahaja. Mana silapnya? Antara gaya hidup di kota dan di desa.

Ada kawan yang mengatakan kesihatan badan ini ikut keturunan juga. Saya medengar saja kerana ada benarnya. Bapak dan emak saya meninggal dunia dalam umur sembilan puluhan. Tidak "bed ridden' cuma selalu dikatil kerana kurang upaya. Jadi masaalah 'bed sore' tidak ada kerana boleh bergerak duduk baring walaupun amat kurang keupayaan berjalan berjalan. Amat bersyukur atas kurnia Allah ini dan semoga saya pun dapat terus mengurus diri hingga keakhir hayat jua adanya. Amin.



No comments:

Related Posts with Thumbnails