"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, July 15, 2009

WANITA MALAYSIA RAPUH ? Eh...Eh...

Pagi ini 15 Julai dalam perjalanan pulang dari sessi Tai Chi, terdengar sekali lalu diRadio IKIM membincangkan tentang ramai wanita di Malaysia yang terpikat dengan lelaki asing dan ramai yang berkahwin dengan mereka tetapi tidak lama selepas itu berakhir dengan perceraian. Apabila bercerai, maka timbullah pula masaalah yang lainnya. Fenomena ini memang selalu dibincangkan di mana-mana secara formal atau tidak formal. Dalam perbincangan diradio IKIM itu perkataan "rapuh" digunakan . Saya kurang pasti apakah kesudahan perbincangan di Radio IKIM itu. Cuma saya menulis ini kerana saya teringat akan "anak-anak buah" saya di pejabat dahulu semasa saya bekerja yang belum berkahwin walaupun sudah lama bekerja.

Saya kurang pasti sama ada telah ada pihak yang membuat kajian kenapa anak- anak muda remaja wanita yang terpikat dengan pemuda asing di Malaysia ini sedangkan bilangan lelaki dibanding perempuan dalam bancian yang dibuat oleh Jabatan Statistik tidaklah menunjukan satu kedudukan yang tidak seimbang. (Saya tidak ada data-data sebenar tetekala menulis ini, cuma dari ingatan semasa bekerja dahulu). Dengan andaian fakta ini benar, maka mengapa anak-anak muda perempuan yang boleh diistilahkan sebagai puteri dan kemudian menjadi wanita lebih tertarik pada lelaki asing.

Saya ingin mengenengahkan "teori" saya sendiri bahawa golongan lelaki terutamanya dari golongan Melayu Islam di Malaysia ini berada di "Kolej Serenti".(Harap difahami maksud saya). Mereka ramai yang dalam lingkungan umur yang belum berumah tangga dan boleh berumah tangga. Oleh itu pilihan untuk jodoh perkahwinan puteri / wanita Melayu amat berkurangan sekali dan tidak hairanlah mereka memilih lelaki asing di Malaysia ini seperti lelaki dari Indonesia, Bangladesh, dan ada juga dari negara-negara Afrika. Kalau perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian, siapakah yang patut dipersalahkan.

Rata-rata dalam perbincangan-perbincangan yang kita dengari di sana-sini selalu meletakan atas fakta bahawa ramai puteri-puteri dan wanita kita yang "RAPUH" dengan maksud kurang berakhlak, kurang matang, kurang berpelajaran dan bermacam-macam lagi kekurangan. Saya agak tidak selesa mendengar perbincangan-perbincangan seperti ini kerana selalunya kita tidak pergi kepada masaalah akar umbi tetapi cukup puas hanya untuk menyalahkan pihak-pihak tertentu. Sebenarnya semua masaalah dalam masyarakat kita di Malaysia ini puncanya menjurus kepada satu hakikat bahawa dasar-dasar dan program-program yang dilaksana oleh pihak-pihak yang bertanggong jawab ada yang tidak dikaji dari kesannya terlebih dahulu dan dengan sebab itu hasilnya membawa akibat yang buruk pada ahli masyarakat yang kurang upaya untuk berfikir sendiri tentang baik dan buruknya sesuatu dasar dan program itu.

Justeru itu apabila kita berbincang tentang apa jua masaalah dalam masyarakat, kita hanya melihat pada "symptom" nya sahaja dan bukan pada penyebabnya. Sampai bila pun kita tidak akan dapat penyelesaian yang memuaskan semua pihak. Penyelesaian kita adalah seperti satu strategi "touch-n-go", atau kata pepatah melayu,"seperti melepas batuk ditangga".

Maka saya rasa sudah sampai masanya kita tidak lagi duduk dalam keadaan "self denial" mengenai masaalah sosial atau gejala sosial ini . Janganlah kita membohongi diri sendiri dengan mengatakan bahawa masaalah ini adalah masaalah ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak dengan sempurna. Sayugia diingat bahawa ibu bapa yang ada itu pun hasil didikkan sistem yang ada di negara ini. "they do not exist in a vaccum". Mereka tidak jadi ibu bapa dengan tiba-tiba. Sikap dan pemikiran mereka dibentuk oleh sistem "pendidikkan" samada yang formal atau tidak formal, sama ada yang langsung atau yang tidak langsung. Ayuh kita sama-sama menerima hakikat bahawa setiap kita bersalah dalam hal ini, sama ada kesalahan besar atau kesalahan kecil, sama ada kesalahan langsung atau kesalahan kerana syubahat. Kita syubahat kerana kita tidak ambil peduli atau kerana kita tidak mahu berterus terang menyatakan ketidakpuasan kita dan "kemarahan" kita. Kalau kita ada mengatakannya pun kita tidak ada daya ketahanan untuk terus berkata-kata hingga berhasil.

Saya mengharapkan agar Pertubuhan-pertubuhan Sukarela yang berpaksi kepada objektif untuk berbuat yang baik dan menghalang yang munkar bersatu padu dan mewujudkan kepimpinan untuk mengambil tindakan positif dan berani untuk menggesa pihak yang bertanggong jawab mengambil tindakan yang benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan masaalah gejala sosial ini. Setiap detik dalam hidup kita yang kita jalani di dunia ini akan dipersoalkan di akhirat nanti di depan Allah swt yang pada ketika itu tiada siapa yang dapat menolong kita, melainkan syafaat Rasulullah saw jika kita mengikut jejak-jejaknya.

Semoga kita diberi laluan, kekuatan, kebijaksanaan, kemudahan dan apa jua yang kita perlu oleh Allah swt untuk menegakkan kebenaran, dan kebenaran semata-mata. Dan semoga kita mendapat keampunan dari Nya dan usaha kita Allah kira sebagai amal soleh.





No comments:

Related Posts with Thumbnails