"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, July 21, 2009

NOSTALGIA - kisah aku membesar dan dibesarkan.

Aku akan sentiasa ingat. Dan setiap kali teringat aku akan termenung jauh dan kadang kala mengininkan untuk kembali ke era aku dibesarkan.

Aku membesar di bawah pokok-pokok getah dan dicelah-celah kebun nenas yang melaut luasnya. Kebun getah ini di Penerok Pontian dan lokasinya di pinggiran hutan, yang aslanya juga hutan tetapi sudah ditebang dan dibersihkan dan ditanam pohon getah oleh Allah Yarham bapak ku dan rakan-rakannya yang kesemuanya datang dari Tanah Jawa. Itu cerita Emak ku. Bapak ku pendiam orangnya dan dia cuma cerita sedikit-sedikat asal usulnya. Katanya dia datang ke Malaya ketika itu dalam umur dia sudah dewasa. Bila ditanya bila dia dilahirkan, dia cuma tahu bahawa ketika hujan abu yang paling besar di Indonesia, dia sudah bujang dan sudah kuat kerja. Ini cerita kakak ku pada ku. Aku tidak dengar sendiri kerana aku anak bongsu dari lapan orang adik beradik dan bapak ku pulang menemui Allah ketika aku berumur 16 tahun. Bila aku kira-kira, hujan abu paling besar ialah ketika meletupnya gunong berapi Krakatoa, yang paling terbesar ketika itu, ia itu dalam tahun 1883.

Begitu jauh dan lampau asal usul keturunan ku. Emak ku pun dari Tanah Jawa tapi mereka berkahwin di sini. Kakak-kakak ku tidak banyak tahu tentang emak ku dari asal usul dan keturunan. Cuma umurnya jauh lebih muda dari bapakku. Bila bercerita-cerita tentang keluarga kami adik beradik agak kesal kerana tidak banyak bertanya tentang salsilah keluarga. Bila diingat-ingat kami tidak bertanya agaknya kerana kami semasa kecil dan remaja dan belia amat rasa malu jadi keturunan Jawa. Katanya Jawa makan katak kering. Di sekolah dan di Kampung kami selalu rasa terpinggir kerana kami keturunan Jawa.

Tetapi bila difikir sekarang, sebenarnya fakta itulah yang membuat kami berkerja kuat untuk memajukan diri. Pesanan bapak ku yang paling aku ingat: "Kita miskin, tapi jangan sampai mintak-mintak". Maksudnya, kata emak ku, kita miskin, tapi jangan sampai kena minta sedakah. Walaupun miskin harga diri aku kira amat tinggi waktu itu. Walau pun aku "Jawa makan katak kering", aku akan menjadi orang berpelajaran. Alhamdulillah aku punya Emak-Bapak yang punya 'wawasan' punya cita-cita. Biarpun makan ubi keladi, dan makan nasi sehari sekali, aku adik beradik bersekolah, dan mereka yang "tidak makan katak kering" jauh ketinggalan. Ini semua berkat doa orang tua ku yang mengharong lautan Selat Melaka menggunakan tongkang untuk "berhijrah" mencari kemajuan, walaupun ketika itu cuma dikatakan mencari sesuap nasi sehari dan berteduh barang sejenak.Semua kakak ku boleh membaca dan menulis menekala ramai rakan sebaya ketika itu tidak tahu. Ini dari sebelum Perang Dunia kedua lagi. Kakak ku yang tertua dilahirkan akhir tahun Sembilan belas-dua puluhan. (1920's). Dia meninggal ketika umur nya 83 tahun setahun dulu.Jasa kakak-kakak ku pada aku, akan ku kenang selamanya.

Itulah rasa nostalgia bila nampak pokok getah dan kebun nenas. Diri ku sendiri semasa sekolah rendah terpaksa menolong kakak ku menoreh getah waktu gelap-gelap lagi. Bila tanah mula cerah, aku lari pulang ke rumah untuk mandi dan pergi sekolah. Waktu itu mandi dikolam yang dalamnya bapak ku juga bela ikan keli dan lain-lain. Sekarang aku senyum sendirian bila mengenang kena mandi di kolam kerana kadang-kadang tidak mandi pun dan cuma basahkan kepala sedikit kerana takutkan ikan-ikan. Emak pastinya tahu "pembohongan" waktu itu cuma dia macam tidak kisah mungkin kerana aku perlu pergi sekolah cepat-cepat kerana mesti berjalan kaki lebih satu kilometer jauhnya dari sekolah. Waktu itu Bapak sudah membeli sekeping tanah berhampiran dengan sekolah yang agak sudah digelar 'bandar' iaitu Bandar Pontian.Namun tanah di Penerok tetap diusahakan oleh Emak ku.

Aku menolong Emak ku menoreh getah "sepenuh masa" musim cuti sekolah. Tidak pernah rasa terpaksa bila disuruh bungkus kain baju untuk menumpang di rumah saudara membantu Emak tersayang. Mana kenal rasa terpaksa kerana bila menoreh di Kg. Penerok ramai kawan-kawan sebaya. Bila habis menoreh kami pergi memancing ikan bila musim nya. Kalau tidak kami ke pinggir hutan ambil sayur-sayur segar yang hidup melata dan kadang-kadang buah-buah juga yang ditanam kecil-kecilan oleh saudara sekampung, seperti buah labu buah temikai dan pastinya nenas sarawak yang masak ranum. Ketika itu tak pernah makan ikan segar Cuma ikan bilis dan ikan masin. Rasa seronok kalau dapat goreng telur. Kami sekeluarga makan ayam dan daging hanya setahun sekali, iaitu waktu Hari Raya sahaja. Daging korban tidak pernah didengari.Maklumlah kami kaum "pendatang" kalau diistilahkan hari ini.

Kebun getah waktu itu seperti tanah "belukar" penuh semak samun. Bukan estet macam sekarang. Kalau kita berjauhan kita tidak nampak orang yang berdekatan. Jadi kalau ada babi hutan atau harimau tidak akan kita nampak. Tetapi pengalaman nampak harimau tidak ada cuma dengar cerita. Tapi babi hutan dan monyet atau kera, itu perkara biasa. Tidak rasa takut pun. Emak ajarkan pada ku untuk pukul baldi dengan pisau toreh supaya jadi bising, ditambah dengan jeritan mulut supaya lari babi-babi hutan dan tidak menggangu kami menoreh getah. Hairan nya kalau difikirkan sekarang ini mengapa rasa takut dengan binatang-binatang itu. Agaknya "alah bisa tegal biasa". Ular pun katanya banyak tetapi hanya berpengalaman sekali bila ada ular sawa (agaknya) di dilubang di tepi pokok betul-betuk tempat emak menoreh. Rasa tergamam dan cuma melihat. Tetapi Allah pelihara. Emak tidak tahu dan terus berlalu dari pokok itu. Kami selamat. Alhamdulilah. Peristiwa ini tidak pernah luput dari ingatan.

Aku bukan sahaja menolong menoreh getah, tetapi disuruh membuat kerja-kerja "domestik" seperti mencari kayu api, menggeraji kayu api, memikul kayu api balik ke rumah. Aku juga menolong angkat air dari perigi dan bila masuk bekalan air di jalan besar, aku menolong memikul baldi air balik ke rumah. Jauh nya lebib kurang 100 meter. Emak tidak ada kemampuan mendapatkan bekalan air terus kerumah. Hanya dalam tahun enampuluhan (1960's) barulah mampu bekalan air ke rumah setelah 2 orang kakak ku menjadi guru. Ketika itu Emak menjaga Bapak yang uzur dan aku pun tidak lagi menoreh getah dan dapat menumpu pada pelajaran lebih sedikit. Jasa kakak-kakak ku sekali lagi aku rakamkan dan hanya Allah yang dapat membalasnya.

Ketika aku kecil, kami tidak punya radio dan tidak ada bentuk hiburan yang lain. Sesekali kalau hendak dengar radio Emak hanya ada kesempatan waktu malam, kerana hendak mendengar 'Bangsawan di udara'. Kita guna api colok dibuat dari daun kelapa kering untuk ke rumah jiran terdekat yang jauhnya lebik kurang 1oo meter. Bukan tidak teringat ketika itu kot-kot terserempak dengau harimau, tetapi sebab nak mendengar radio hilang semua rasa takut. Kalau kami hendak digelar "jakun" maka jakunlah kami. Bila terkenang peristiwa ini agak rasa sayu kerana sememang nya kami keluarga miskin. Tetapi kemiskinan tidak pernah menghalang kami rajin berkerja. Bukan puji diri. Tetapi ini hakikat warisan Bapak dan Emak yang datang jauh dari Tanah Jawa.

Ketika itu YB Tan sri Sardon Jubir jadi idola kami. Jawa boleh jadi menteri. Kami menumpang "rasa hebat". Kalau Jawa boleh jadi menteri pasti kita boleh jadi apa yang kita cita-citakan dengan izin Allah. Orang sudah tidak lagi mengatakan "Jawa makan katak kering". Tetapi tiada siapa dalam keluarga kami yang jadi menteri atau aktif dalam politik, kerana Allah Yarham Bapak sangat menekankan nilai harga diri yang tinggi. "Tidak kira kerja apa, janji ia kerja yang halal" itu pesanan Bapak. Perkataan yang selalu digunakan ialah "perihatin". Dalam budaya Jawa pendatang macam kami ini "perhatin" itu ialah nilai yang penuh mencerminkan kerajinan, keikhlasan, amanah, tanggongjawab, tolong menolong dan apa-apa lagi yang positif yang membuat kita berdikari dan boleh "walk tall" di mana-manapun. Walaupun nama Jawa, kita berwibawa. (Bukan puji diri, tapi macam puji diri, hee...heee). Jawa tetap Jawa. Namun wasiat Islam tetap diabadikan. Bapak adalah "Tok Guru" kecil-kecilan. Dia mengajar fardhu 'ain, dan sedikit sebanyak memimpin sessi -sessi berzikir beramai-ramai.Dia mengajar dalam Bahasa Jawa.Kitab-kitab nya berbahasa Jawa. Ada yang masih tersimpan oleh kakak. Oleh kerana ramai yang buta huruf, banyak kitab-kitab itu dalam bentuk syair yang boleh diajar untuk di hafal. Kakak-kakak ku banyak yang dihafal, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan hati, yang ada kaitan dengan tassauf.

Semasa aku kecil dan remaja, tidak banyak yang aku fahami ilmu tasawuf yang diajarkan oleh Bapak. Emak hanya pengikut. Tetapi kini fahamlah sikit-sikit. Ilmu fardhu ain banyak aku belajar disekolah agama kerajaan negeri, sebab ketika itu bapak sudah terlalu uzur untuk mengajar dan kawan-kawan Emak dan Bapak pun sudah ramai yang uzur atau telah meninggal dunia. Dewasa ini banyak perkara yang aku lihat semula terutamanya tentang ilmu Tauhid. Ilmu yang diajarkan disekolah agak sederhana dan amat tidak mencukupi. Dan pendekatan pengajaran agama pun amat tidak seperti yang sewajarnya. Iaitu, ilmu fardhu ain dan ilmu yang sekarang kita gelar ilmu akademik, diasing-asingkan. Seolah-olah untuk jadi pakar perubatan, kejuruteraan , ekonomi dan apa jua pun, ilmu aqidah semacam tidak ada kaitannya. Ini kelemahan sestem pendidikan dan banyak yang aku jadi keliru dan banyak juga yang aku terjebak dengan perkara-perkara larangan. Aku telah memohon ampun dan akan terus memohon ampun dan bertaubat dengan Allah swt agar didikan Emak dan Bapak tidak jadi sia-sia. Agar aku digolongkan dalam kategori anak-anak yang soleh dan semoga doa ku untuk Allah Yarham Emak dan Bapak kesampaian.

Semoga catatan kecil kisah aku membesar dan dibesarkan ini dapat menjadi bahan renungan Huzaifah dan cucu-cucu yang lain.Yang baik buat tauladan dan yang tidak buat sempadan. Betapa hari ini kehidupan telah menjadi amat mudah berbanding dahulu dan semoga warisan ketahanan jati diri dapat di hayati (internalized). Aku selalu berpesan pada siapa jua terutama anak-anak, bahawa tiada jalan pintas dalam mencari kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hidup. Cuma kita mesti bijak (be street smart) dalam pendekatan kita dan selalu berdoa agar Allah swt memberi taufik dan hidayah Nya dan memudahkan segala-galanya. Nawaitu mesti betul, dan proses pun mesti betul. Mohon Taubat setiap ketika, setiap hari kerana manusia tidak sunyi dari kesilapan. Dalam nostalgia ada rasa kemanisan, dan ada juga rasa kesedihan. Semoga yang manis Allah terima sebagai amal soleh dan yang masih tergoris rasa sesalan dan kesedihan Allah terima Taubat nasuhah ini semoga akhirnya Allah terima aku dan Emak dan Bapak dan semua yang aku sayang sebagai hamba-hambaNya yang sejati dan Allah jemput masuk ke dalam syurganya yang abadi.
Keluargaku - antara detik-detik ceria, Syawal 1429H

3 comments:

noraini said...

Cantik...dengan gambar-gambar sekali. Alhamdullilah you document what you've been tellng people. Pemimpin 'jawa' dulu ori punya, ada rasa hebat, sekarang..maaf ya macam 'jakun', no not jakun merendahkan orang asal tanah melayu jakun dari segi 'rakus''darat' tak tau bersyukur.Mohon ampunlah kalau sakit di hati ni terlepas sikit. keep on writing. i am your avid reader. maybe we should share what we've been reading since tau baca tulis. it wil help future generation. tahniah!

Anonymous said...

your writing reminds me so much of my late father, yg bangga jadi orang jawa.
kerugian kami adalah tidak berjaya menguasai bahasa jawa.

ngasobahseliman said...

Dear klynnismail,
A belated answer to your comment. Thank you for visiting. Am glad there is a similarity between us. Ada darah Jawa. Hope to hear from you again. Take care. Salam

Related Posts with Thumbnails