"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, July 13, 2009

SISA-SISA HIDUP ?

Semacam rasa tersentuh dihati bila seorang teman agak karib memberi ucapan dimajlis hari lahirnya dengan berkata, "terima kasih kerana sudi datang meraikan saya pada hari ini. Dalam hidup saya yang tinggal sisa-sisa ini .........................." dan seterusnya dan seterusnya. Ucapan sebelum itu pun menggunakan istilah yang sama.Dan agak tersentuh juga sebab yang mengatakan itu seorang Ustazah yang mengajar ilmu tajwid dan ilmu fardhu ain pada sekumpulan wanita yang rata-rata berumur lewat lima puluhan dan enam puluhan.

Apakah agaknya yang dimaksudkan dengan sisia-sisa hidup yang sebenarnya. Adakah kerana kini sudah melepasi umur "persaraan" perkhidmatan awam atau adakah kerana kini sudah hampir ke garis penamat dalam hidup seorang insan.

Biasanya kita menggunakan perkataan sisa pada makanan yang sudah lebih-lebih dipinggan atau lebihan apa jua benda yang tidak lagi mahu dimunafaatkan. Kenapa tidak kita menggunakan istillah baki masa. Walaupun penggunaan istillah SISA-SISA HIDUP itu adalah seperti satu peribahasa, tetapi alangkah hinanya rasa masa kerana masa adalah juga makhluk Allah. Allah swt yang menganugerah masa pada kita, yang kita sebut umur. Dan pasti setiap detik umur adalah satu kurnian yang amat berharga. Maka tidak layak ia disebut sebagai sisa kerana sisa itu bermakna suatu yang kita tidak hargai. Kalau makanan mungkin ia hanya dihargai oleh binatang peliharan kita seperti kucing atau sepertinya.

Subhanallah, maha suci Allah yang mengurnia masa. Tidak ia patut kita istillahkan demikian. Jika kita fikir halus-halus, masa-masa akhir inilah yang kita seharusnya menggenggam masa itu seolah-olah tidak mahu kita lepaskan. Kerana masa yang sedikit inilah yang kita perlu optimakan kegunaannya. Malahan doa kita harus menjurus agar masa yang hanya tinggal sedikit ini dapat Allah "perpanjankan". Kita tidak akan berdoa demikiain kalau masa itu sisa.

Atau adakah kerana badan sudah tidak sekuat dahulu, dan minda sudah tidak setajam dahulu maka kita kata masa yang tinggal itu adalah sisa-sisa hidup. Pada saya itu adalah dua hal yang berlainan. Dari segi psikologi pun penggunaan istilah itu seakan-akan kita memperkatakan masa itu sudah berkurangan fakta "value added"nya.Atau dengan lain perkataan waktu-waktu akhir ini sudah tidak banyak yang dapat kita pergunakan untuk sesuatu yang luar biasa dalam konteks pengabdian diri pada yang Maha Esa.

Sebuah hadis ada mengatakan yang lebih kurang bermaksud, "sekiranya kita diberitahu bahawa esuk dunia akan qiamat dan ketika itu kita sedang menanam pokok, maka kita teruskan menanam pokok itu". Antara tafsirannya ialah Allah lah yang menentukan hasil usaha kita itu. Dan kita juga boleh mengambil makna bahawa saat segenting itu pun kita diminta untuk terus berusaha. Oleh itu masa yang tinggal dipenghujung hidup kita bukan boleh kita katakan ia sisa. Hidup ini ibarat perlumbaan lari seratus meter. Dipenghujung larian itulah kita memecut supaya kita menamatkan larian kita dengan harapan yang luar biasa untuk berjaya, dan usaha kita mendapat pengurnian yang tidak pernah kita sangka-sangka.

Penulisan ini adalah satu pendapat saya semata-mata. Saya mengharapkan ada teguran sesiapa yang membacanya. Semoga Allah memberi hidayahNya yang tidak terhingga kerana Dia sahaja yang maha mengetahui dan maha bijaksana.


No comments:

Related Posts with Thumbnails