"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, July 28, 2009

Bilakah habisnya tanggong jawab seorang ibu.

  Anak Dan Menantu, Ujai dan Akif

Suatu hari seorang teman yang bertaraf ustazah yang mengajar pada ku al Quran (terjemahan Harfiah) mengeluh dan berkata, "tak boleh habis tugas kita sebagai ibu. Walaupun dah kahwin ada saja yang kita nampak tak kena. Nak marah tak boleh sebab dah bersuami, kata setengah orang Tapi Kak Mah (nama teman ini) tak peduli. Hukum kata kalau nampak kemungkaran, kita boleh tegur."

Seorang teman lagi berkata pada ku,"Kalau kita nak selamat dengan menantu dan jadi mak mertua yang baik, mulut banyak tutup. Jangan cerewet. Takkan sama cara kita dengan cara depa tu." Ada pulak yang kata,"kalau nak betul-betul popular dengan anak dan menantu, jangan duduk sekali bila dah berumah tangga. Duduk asing-asing itulah yang terbaik. Lagi pun kita masih kuat lagi. Kalau dah tak daya barulah kita duduk sekali."

Seorang kawan yang lain berkata pula," Kita ikut contoh Mak kita dulu-dululah. Menegur secara hikmah." Tapi yang seorang lagi berkata,"apa itu hikmah. Senang cakap aje. Nak terapkan konsep hikmah bukan mudah. Sebab itu eluk diam saja. Kita buat yang agak patut sudahlah."

Bila kita fikir-fikir sememangnya banyak pendekatan yang boleh dicuba guna. Anak saya pernah berkata pada saya sebelum berumah tangga dahulu, "Mak, sekarang ni zaman cyber generation gap makin jauh. Mak setuju?" Lebih kurang begitu dia bertanya. Saya mengatakan padanya, "generation gap ini hanya wujud sepetutnya kalau kita lihat dari segi teknologi untuk kegunaan harian. Macam Mak ni, kalau suruh guna komputer bermacam-macam memang Mak tak tahu. Kalau suruh urus alat-alat elektronik pun Mak tak pandai. Tapi kalau kita cerita pasal NILAI-NILAI MURNI dalam hidup tidak sepatutnya ada generation gap. Sebab kita bercakap berlandasan Quran dan Hadith. Dia tidak berubah daripada mula sampai qiamat nanti." Terdiam dia sekejap tapi tak bincang lanjut. Saya pun tak tanya balik setuju atau tidak. Sebab pasti panjang hujah-hujahnya.

Saya lebih mirip menyimpulkan bahawa tanggung jawab kita pada anak dan menantu tidak akan habis hingga kita mati. Cuma kita tidak mahu jika ada apa masalah nanti, kita pula yang disalahkan.

Strategi mana yang kita pilih ikutlah firasat seorang ibu yang sentiasa minta hidayah dari Penciptanya. Mohon Allah mudahkan segalanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails