"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, July 9, 2009

LAMPASAN MINDA

Ini tajuk Buletin Kecil, Masjid Ar Rahman, Kg. Tunku, Petaling Jaya yang saya usahakan bersama-sama beberapa ahli qariah, antaranya ialah Dr. Wan Fatimah yang dahulunya juga sama-sama bekerja di kementerian Pendidikan sebelum bersara. Pemilihan tajuk ini telah difikirkan agak lama sebelum penerbitan ulung dibuat kerana tujuan Buletin ini diterbitkan ialah untuk menjadi sumber maklumat dan disamping itu berfungsi sebagai forum untuk memperkatakan sesuatu "without fear or favour". Asal makna 'lampasan' ialah seperti tindak balas. Telah berkata seorang kawan yang mencadangkan perkataan ini (Puan Nor Ein Mohamad Noor), seorang pakar bahasa yang dahulunya bekerja di University Malaya, bahawa ia seperti tindakan ombak yang terhempas ke pantai. Pastinya ada tindakan balas oleh pantai itu dan kepada pantai itu. Dengan itu adalah diharapkan "lampasan minda' ini menjadi "bouncing board" untuk ahli-ahli yang masih suka berfikir secara professional.

Tetapi, "for better or for worse", ia tidak menjadi seperti yang diharapkan. Ia semata-mata menjadi sumber maklumat kepada ahli. Pada saya munafaatnya tidak begitu tinggi kerana selalunya maklumat itu lambat disediakan.

Tetapi sidang pengarang terus menerbitkannya kerana tidak mahu berputus asa. Mungkin ada kebaikkan yang lain kerana di akhirat nanti kita tidak dinilai dari segi hasil kerja semata-mata, tetapi lebih penting kita akan dinilai dari segi usaha kita. Walaubagaimana pun setelah enam tahun mencuba, walaupun tersangkut-sangkut, kini ia telah berakhir kerana saya sudah tidak memegang apa-apa jawatan dalam pentadbiran Masjid itu.

Begitulah perihal cerita hidup dan kehidupan umur lewat lima-puluhan, enam-puluhan dan tujuh-puluhan. Kebanyakan kita dengan tidak disedari telah terperangkap dalam "Zon Selesa" atau "comfort zone" dan merasakan tidak perlu berbuat apa-apa yang menentang arus kehidupan bermasyarakat. Ramai beranggapan dalam umur seperti ini kita lebih baik duduk diam-diam dan "beribadah". Kalau dikurnia banyak rezki, kita pergi melancung atau selalu pergi Umrah kerana ramai yang berfikiran umur seperti ini tidak dapat mengubah apa-apa pun, kerana katanya kita tidak ada kuasa. Hak mengundi Lima tahun sekali itu tidak dilihat sebagai "kuasa" yang membolehkan rakyat memperbaiki kehidupan supaya benar-benar hidup ini tidak dikuasai oleh mereka yang amat kurang memikirkan tentang yang hak dan yang batil di sisi Allah swt.

Ada kawan-kawan yang bertanya dalam sessi pernincangan kecil-kecilan, bahawa adakah ini salah dan kalau salah siapa yang patut dipersalahkan. Ramai ahli qariah yang sudah amat selesa berfikiran begini dan saya berpendapat mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana sememangnya mereka sudah dididik begini melalui radio, television dan media massa yang lainnya. Orang Malaysia ramai yang belum menyedari betapa hidup kita ini belum mengikut al Quran dan Sunnah sepenuhnya. Tetapi oleh kerana Ramai di dalam negeri dan di luar negeri yang mengatakan Malaysia adalah Negara Islam contoh, maka ramai yang terjebak dengan "Sindrom Selesa" ini.

Tetapi alhamdulilah diluar qariah ini sudah mula nampak arus perubahan yang di harapkan akan dapat membawa generasi kini kearah pembangunan yang berteraskan aqidah dan nilai-nilai murni ajaran Rasulullah saw. Mungkin saya tidak sempat melihat kejayaan itu. Tetapi saya berdoa agar Allah kumpulkan saya bersama-sama mereka yang berjihad menegakkan kebenaran, dan semoga saya ditempatkan bersama-sama para sidiqqin, syuhada' dan solihin. Amin.


No comments:

Related Posts with Thumbnails