"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Tuesday, October 26, 2010

"EMBAH REMPIT"





Saya biasakan cucu-cucu saya panggil saya "Embah". Saya ikut idea salah seorang anak saudara saya yang mengajar anak-anaknya untuk panggil "Embah" pada  tok perempuan. Ini sahajalah warisan perkataan Jawa yang ada dalam keluarga saya. Tiada siapa pun yang mewarisi bahasa Jawa. Ia pupus  dalam keluarga yang dulu di kampung dikenali denagan keluarga "Wak Leman".

Tiba-tiba saya terkesan dengan perkataan "Embah" sebab seorang kenalan di alam cyber buat lawak dan sebut saya ni "Embah rempit" kerana saya bercerita dalam umur hampir 64 tahun saya masih suka dan masih bolih memandu laju. Bukan laju sangat pun. Cuma pernah mencecah 170km/jam di Lebuh Raya Utara-Selatan, dari Butterworth ke Kuala Lumpur. Itu pun di jalan yang lurus dan tidak sesak. Biasa-biasanya saya  patuh pada had laju. Tetapi bila boring saya laju sikit. Itu pun kerana adik ipar "pinjamkan"  kereta Volvo XC 60. Ia mempunyai banyak ciri-ciri keselamatan. Teringat pula waktu teran-tang-tang dulu. Dengan kereta Mini Clubman dan jalan raya bengkang-bengkok dalam tahun tujuh-puluhan, masih bolih memandu 60 batu/jam. Kadang-kadang lebih sikit. Pernah "berlumba" pulak tu. Depa ingat saya pegawai polis sebab itu berani bawa laju-laju.

Silap saya bercerita masih suka memandu laju. Label "Embah Rempit"  buat saya seronok seketika. Perasan diri. Sebenarnya saya sekarang bukan sehat sangat pun. Lutut kendur, mata kabur dan rambut pun dah gugur. Cuma sebagai manusia biasa, kadang-kadang tidak ingat diri. Ego terlepas dari kawalan dan mula cuba-cuba bukti pada suami diri ini masih berani, masih bolih buat itu dan ini. eh wah!.......

Astaghfirullah.......
Semoga Allah mengampunkan, dan semoga sejahtera seterusnya kerana masih banyak tugas fardhu kifayah yang belum selesai. Masih banyak "janji-janji"  pada diri yang belum ditunai Semoga Allah sentiasa pelihara saya dan keluarga dan kita semua supaya tidak lagha dan lalai.
Related Posts with Thumbnails