"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Thursday, October 1, 2015

.........demi sesuap nasi.






Cerita sedih buat saya....
Terkenangkan betapa sesetengah kita tidak fikirkan kesusahan orang lain.

Saya pulang dari Tangkak, Johor untuk beberapa kalinya dengan menaiki bas. Ini terminal bas di TBS, Salak Selatan. Nampak lengang kerana bukan musim cuti. Jerebu juga membuat ramai orang malas berpergian kalau tidak mustahak. Semoga jerebu cepat beredar lalu....

Yang membuat saya sedih bukan jerebu tetapi suatu insiden yang berlaku semasa saya menanti anak saya menjemput saya pulang.

Duduk dikerusi menanti, saya perhatikan ada 4 orang warga asing yang berkulit agak gelap sedang berbicara atau bercakap sesama sendiri. Nampak seperti perbualan atau percakapan biasa. Saya suka memerhatikan orang-orang seperti ini dan membayangkan dan memikirkan dikepala saya mengapa mereka berada di sini. Mungkin mereka pelajar kolej atau mungkin mereka pekerja yang dibawa masuk oleh ajen-ajen yang dibenarkan. Melihat pakaian mereka saya menyangka pastinya mereka bukan pelancung....

Tiba-tiba sahaja  saya nampak dua orang pegawai polis datang mendekati tempat mereka duduk dan lantas meminta mahu melihat Passport mereka. Saya agak terkejut sebab saya tidak pernah berada dalam situasi yang hampir seperti itu. Saya mendengari pertanyaan polis tersebut. Muka pegawai polis itu seperti selamba sahaja tetap muka warga asing itu saya perhatikan seperti agak cemas.

Mereka menyeluk poket untuk menunjukan dokumaen yang mereka ada. Tidak jelas pada pemerhatian saya tetapi  nampak bukan berupa Passport rasmi seperti yang saya biasa lihat. Setelah dilihat, agaknya polis berpuas hati dan dokumen dikembalikan. Tiga  orang daripadanya duduk semula dan nampak lega. Yang seorang diminta ikut mereka dan saya sudah boleh jangka apa yang berlaku.

Bila pegawai polis sudah tidak kelihatan saya bangun dan bertanya mengapa. Saya memang suka "busy body" kerana saya adalah pesara perkhidmatan awam. Yang seorang warga Pakistan, dan yang dua lagi warga Bangladesh. Yang di bawa pergi oleh polis itu katanya ada Passport tetapi dipegang oleh ajen. Katanya baru sampai  Malaysia dari Bangladesh......

Saya rasa amat tidak selesa memikirkan "nasib" orang-orang seperti ini. Hanya untuk mencari sesuap nasi, sehelai pakaian dan tempat berteduh, mereka merasai tekanan keselamatan seperti itu. Seperti yang kita tahu, ramai lagi yang menghadapi kekusahan dan keselamatan yang lebih meruncing.....

Saya sayu kerana saya ini adalah keturunan pendatang. Arwah emak dan bapak saya datang dari Jawa. Hampir 100 tahun dahulu. Saya bayangkan betapa bahaya dan susahnya bapak saya naik tongkang sebagai 'Jawa kontrak' mencari sesuap nasi di sini. Bapak bercerita dia mula dengan menebang hutan dan berbagai cerita yang membuat saya rasa sedih berdepan dengan peristiwa warga asing dengan polis tadi. 

Di mana jua, di Malaysia atau di negara asing, saya perhatikan tidak ramai yang mahu berkongsi rezki yang Allah beri. Ini bumi Allah, tetapi mereka kata ini hak mereka. Maka undang-undang yang digubal untuk menyekat kedatangan pendatang  amat ketat dan penguatkuasaannya seperti tidak ada belas kasihan dan tidak berperikemanusiaan. Tidak akan ada cerita seperti golongan Muhajirin dan Ansar seperti dalam sejarah Islam. Ada contoh yang Rasulullah salallahualaihiwasalam lalui, tetapi kemungkinan ini berlaku sekarang amat tipis sekali. Mungkin saya pesimistik, tetapi itulah hakikat yang nampak di mata saya.

Saya terus tercegat berdiri memerhati jika ada lagi warga asing yang lain ditahan..... hinggalah sampai anak saya menjemput saya pulang.
Semasa saya menulis entry ini sedih saya belum hilang.....
Semoga Allah menolong mereka yang benar-benar memerlukan pembelaan. Ujian Allah......harga sesuap nasi begitu mahal! Ia amat menimbulkan keinsafan.

Pastinya semua kita Allah sedang lihat dan nilai quality pengabdian kita. Semoga Allah menanam di hati kita keperhatinan dan sikap kepedulian untuk membantu mereka yang dhaif atau mereka yang dizalimi, di mana jua.

Mohon keampunan MU ya Rabb....


......

No comments:

Related Posts with Thumbnails