"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Friday, October 2, 2015

Peristiwa di rumah jiran.







Kami agak terkejut apabila tiba-tiba di rumah jiran kami kelihatan kenderaan yang tidak sepatutnya ada di situ. Anak saya memanggil untuk saya sama-sama melihat. Foto ini saya rakam dari tingkap bilik atas. Kelihatan kereta-kereta Polis, PDRM. Saya tertanya-tanya. Anak saya relax sahaja menjawab katanya ada laporan kematian seorang bayi. Bagaimana tidak pula anak saya dapat maklumat lanjut. 

Rumah jiran ini dihuni oleh sebuah NGO yang mengendali "Baby Hatch", sebuah Orphanage.  Ia sebuah projek sosial untuk membantu wanita-wanita yang perlu pertolongan mahu mengambil anak angkat. Tetapi lebih utama dari itu saya difahamkan oleh NGO berkenaan ialah ia mahu menyelamatkan bayi-bayi yang tidak boleh diterima oleh ibunya kerana beberapa sebab yang melibatkan keaiban keluarga. Dengan lain perkataan, NGO ini mahu menyelamatkan anak-anak yang lahir diluar nikah supaya tidak dibuang begitu sahaja oleh mereka yang berkenaan.

Fenomena membuang bayi menjadi suatu gejala sosial yang belum dapat ditangani sepenuhnya dalam negara kita. Namun saya kurang arif bagaimana NGO ini beroperasi dan saya tidak mengambil peranan dalam hal ini kerana ada beberapa kerumitan yang saya tidak dapat atasi. Maka saya duduk dipinggiran sahaja. Tugas ini bukan mudah. Semasa mula beroperasi saya mendapat penjelasan ringkas dan saya juga faham secara ringkas. Mereka diiktiraf kerajaan dan NGO ini mendapat kerjasama ajensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya.

Sesiapa yang menghantar anak ke tempat ini tidak perlu dikenali. Ia boleh sahaja meletakan bayi itu dalam sebuah tempat dan serta merta isyarat akan berbunyi untuk perhatian seorang yang ditugaskan di situ. Siapa yang menghantar bayi itu boleh terus meninggalkan tempat itu.Gate rumah itu tidak berkunci dan boleh datang bila-bila masa sahaja. Namun kes hari itu saya tidak tahu bagaimana bayi itu meninggal dan saya pun tidak bertanya. Pastinya polis sudah mahir dalam hal ini. Kenderaan Forensik Polis pun ada dan pastinya ia tidak memerlukan maklumat dari jiran.

Begitulah peristiwa yang berlaku beberapa minggu lalu yang baru kini dapat saya rakam dalam entry ini. Terlalu banyak masaalah dalam negara kita. Siapa yang bersalah sukar untuk menuding jari. Ada kaitan antara satu masaalah dengan satu masaalah yang lain. Mungkin disebabkan tidak ada kesungguhan dari semua yang bertanggong jawab untuk menangani masaalah seperti ini. Mungkin terlalu besar sikap nafsi-nafsi. Mungkin dasar-dasar kita terlalu elitist dan mereka yang tidak berkemampun ketinggalan dan terjebak dengan masaalah seperti ini. Mungkin dasar pendidikan kita tidak menumpu pada pembangunan akhlak dan hanya menumpu pada perlumbaan mencapai kecemerlangan akademik semata-mata. Mungkin kita membiarkan pengaruh luar yang bebas dalam pergaulan menyebabkan ahli masyarakat kita jadi kecundang. dan berbagai lagi. 

Masaalah ini memerlukan kekuatan kepimpinan yang berwibawa.....berilmu beramal beriman dan bertaqwa. Namun saya tidak berhajat berbicara mengenai fenomena ini. Pihak kepimpinan disemua peringkat perlu lebih peka, lebih peduli, lebih ikhlas dan benar-benar komited. 

Kita bermula dengan diri sendiri, barulah kita boleh membuat perubahan pada orang lain.
Semoga Allah menunjuki jalan......
Mohon keampunan MU ya Rabb....


.....

No comments:

Related Posts with Thumbnails