"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, October 21, 2015

Huzaifah mula mengetuk pintu dunia awal remaja...







Lama saya tidak bercerita hal cucu kesayangan.
Huzaifah @ Ujai....
Kini umurnya 10 tahun dan sudah menampakan perubahan dari segi kesukaan aktiviti hariannya. Pada siapa yang belum tahu suka saya maklumkam cucu sulung saya ini disahkan anak istimewa, iatu dalam kategori ADHD - Attention Deficient Hyperactive Disorder.

Antara kekurangannya ialah ia tidak dapat mengawal daya fokus dalam melaksana sesuatu tugas. Akibatnya ialah kita akan menghadapi kesukaran dalam usaha mahu mengajar dia melaksana sesuatu tugasan. Antara contoh yang mudah ialah kita sukar mahu mengajarnya membaca dan menulis kerana ia susah memberi tumpuan masa yang secukupnya. Dia mudah bosan dan mudah jemu dalam sesuatu gerak kerja. Dia terlalu aktif dan tidak suka duduk diam.

Alhamdulilah, setelah lebih setahun ia mendapat bantuan professional dari pakar dalam bidang mengurus "children with special needs", maka kini Huzaifah sudah menampakan banyak kemajuan. Saya selalu berhubung dengan ibunya untuk mengikuti perkembangannya. Dan sering juga menziarahinya di hujung minggu atau ibunya akan membawa anak-anaknya ke rumah saya bila dia kesempatan.

Sekarang dia sudah tidak banyak menagih dari saya untuk membelikannya mainan seperti Lego, kereta mainan dan sebagainya walaupun dia kurang menumpu menghabiskan sesuatu rekaan Lego. Kesukaan dan minat mainannya sudah berbeza sedikit dari minat adik-adiknya. Kini ibunya memberitahu saya Huzaifah sudah ada minat baru. Maka bila terepist professional itu mahu membina daya fokusnya melalui bermain bola rugby, ia amat seronok. Tak kiralah walau tubuhnya masih belum menampakan potensi pemain bola rugby kerana ia amat kurus. Jurulatih atau coachnya memberi motivasi padanya supaya lebih berdisiplin dalam amalan pemakanan supaya badan jadi mantap.

Latihan main rugby ini  merupakan usaha serampang dua mata. Permainan itu dapat membantu membina fokus dan dapat juga memperbaiki kelemahan fisikalnya yang kurang setabil dalam mengendali diri bila membuat pergerakan lasak.

Kami sekeluarga bersyukur amat sangat Allah memberi ruang dan peluang untuk mendidik dan mengasuh Huzaifah untuk menjadi individu yang normal sebaik mungkin. Saya turunkan di sini beberapa foto Huzaifah dengan coachnya Cikgu Rashid dan kekawannya. Semoga apabila daya fokusnya bertambah baik selaras dengan kematangan umur, Huzaifah boleh diajar dengan lebih intensif lagi untuk membaca alQuran dan diajarkan ilmu Fardhu Ain yang lainnya.








Sesungguhnya tiada ciptaan Allah yang sia-sia dan kami sekeluarga redha dengan ketentuanNya. Huzaifah terpilih untuk menjadikan kami sekeluarga lebih bersyukur dan bersabar. Dia punya kelemahan tetapi dia juga punya kekuatan asalkan sahaja kita mahu melihatnya dengan mata hati dan membuka minda untuk sentiasa berlapang dada.

Kata guru kelasnya mungkin tahun hadapan 2016 ia boleh ditempatkan di kelas murid-murid normal Kami berdoa apa jua keputusan pihak sekolah ia adalah yang terbaik bagi Huzaifah. Cuma saya katakan pada ibunya mungkin kami bolih rundingkan ia ditempatkan di sekolah lain yang tiada kelas khas anak-anak istimewa semoga tidak ada rasa prejudis dari guru biasa atau dari rakan sebayanya dalam kelas biasa yang normal. Maklumlah masyarakt umumnya belum benar-benar dapat menghargai kelainan yang Allah kurnia bagi setiap individu. Subhanallah.....

Kami akan terus berusaha, berdoa dan bertawakal pada yang maha Pencipta.
Buat sementara waktu kami ambil tindakan selangkah demi selangkah dengan memohon dari Allah apa yang terbaik bagi Huzaifah.......

Aamiin ya Rabb....


.......

No comments:

Related Posts with Thumbnails