"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Sunday, August 30, 2009

52 Tahun Merdeka - Di Mana "Kemegahan" Kita.

Alhamdulillah, Allah kurnia kebebasan. Aku terus berdoa semoga kebebasan ini bukan sahaja dari segi politik dan pentadbiran tetapi juga dari segi minda dan sikap.Di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan ini ada soalan yang masih belum terjawab dan masih menghantui fikiran, iaitu soal Bahasa dan kaitannya dengan Pembangunan negara,terutamanya dari soal ekonomi dan menjunjung agama Islam kerana al Quran adalah untuk manusia sejagat.

Ketika mencapai kemerdekaan, aku baru berumur 10 tahun. Belum faham banyak perkara. Belum tahu erti kemerdekaan atau kebebasan atau tamatnya penjajahan. Dan tidak ada dalam ingatan ku bagaimana sambutan kemerdekaan diadakan di Pontian Johor. Mungkin kerana waktu itu aku tidak terpilih untuk mewakili sekolah berbaris di padang atau sebagainya. Dan waktu itu keluargaku terlalu miskin dan radio pun tidak ada untuk mendengar berita dan apa-apa jua pengumumun.

52 tahun dulu aku masih di "special Malay class 1", iaitu tahun 4 dalam sistem sekarang, cuma pada ketika itu semuanya dalam Bahasa Inggeris. 'Megah dan seronok' pulak tu dapat masuk sistem itu. Bukan sebab apa pun.....cuma abang dan kakak masuk dalam sistem yang sama. Kakak-kakak yang tua lagi cuma sekolah Melayu atau sekolah dewasa. Dan kalau tak silap ingatan, sistem Aliran Bahasa Melayu (Malay Medium Schools) bermula dalam tahun 1963. Aku tak tahu dan tak ingat sistem sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau tamil itu bagaimana bermula. Cuma yang aku terfikir sekarang kenapa agaknya sistem ketika itu demikian. rupa. Cuma yang dapat diingat dan difahamkan ialah untuk mendaulatkan Bahasa Melayu maka akhirnya sistem yang berbahasa Inggeris ditamatkan. Tetapi Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil berterusan hingga hari ini untuk sekolah rendah.

Satu perkara yang telah lama terfikir dan telah berbincang-bincang dengan kawan-kawan ialah kenapa kita orang Melayu tinggal bersama dengan orang-orang keturunan Cina yang bilangannya hampir sama, tetapi tidak boleh berbahasa Cina, setakat bertutur pun tidak boleh. Adakah satu yang mustahil untuk diadakan dasar pada ketika itu dimana Bahasa Melayu didaulatkan sebagai Bahasa Kebangsaan tetapi orang-orang Melayu juga digalakkan memilih bahasa Cina atau Tamil untuk dipelajari serentak. Sebab apa terfikir begitu? Mari kita sama-sama fikir.

Sekarang ini kita wujud dalam dunia tanpa sempadan (world without boarders) tetapi rata-rata orang Melayu tidak boleh berbahasa Cina (sekurang-kurangnya) walhal ramai orang Cina di Malaysia. Kalau pengajaran dan pembelajaran Bahasa tidak dilaksana secara rasmi, maka sememangnya sukar untuk dipelajari. Tamabahan pula yang rasa amat terkilan sekarang ialah kita tidak dapat "bermesra" dengan orang-orang keturun Cina sebab kita tidak bertutur dalam bahasa mereka. Memang boleh kita berbuat demikian dalam Bahasa Melayu, tetapi tidak sama keberkesanannya, tidak sama kemesreannya.

Aku cuma memikirkan sedikit sahaja. Oleh kerana tidak dapat rasa "mesra" maka kalau kita hendak berdakwah mengenai Islam, ia menjadi amat terhad. Peranan Bahasa amat penting untuk "to win the hearts and minds" bagi sesuatu kelompok manusia. Sebab itu di dunia sekarang ramai yang boleh berbahasa lebih dari tiga. Kita di Malaysia agaknya dahulu tidak terfikir soal global dan tidak ada gerakkan dakwah ketika itu yang berfikiran global. Kita cuma berfikiran Melayu, tetapi dalam ingatan saya amat sedikit tersentuh dengan gerakkan Islam jika ada sekalipun.

Tetapi apa nak buat, nasi sudah menjadi bubur. Cuma kita harus mendidik anak-anak generasi kini supaya berfikiran besar.(Think of the BIG picture, and not only the small picture). Ia bermula dengan sistem pendidikan kita. Boleh atau tidak sistem ini dikaji semula dan meletakkan pengajaran dan pembelajaran bahasa dijadikan agenda penting dalam perancangan menyusun semula struktur pendidikan. Oleh kerana kita adalah negara yang rakyatnya berbilang kaum, maka mungkin kita perlu tambah setahun lagi di peringakat sebelum University. Bukan bahasa sahaja yang hendak dimantapkan, pengajaran asas moral dan agama pun perlu diperkuat. Jadi mungkin kita tidak perlu "graduate at age 17" untuk sistem pendidikan menengah. Mungkin perlu tambah setahun lagi dan umur tamat menengah menjadi 18 tahun. Sudah tentu ini akan melibatkan kos yang tinggi. Tapi Malaysia adalah satu negara yang kaya dengan minyak dan lain-lain lagi. Setakat menambah kos ini aku percaya ia suatu yang mudah kalau kita bebar-benar serious. Kita tidak perlu ikut sistem negara lain walaupun mereka negara maju. sebabnya kepentingan kita tidak sama dan tidak serupa.

Sebenarnya dahulu semasa aku masih di Kementerian Pendidikan, aku pernah menyuarakan hal ini. Tidak sangat dalam hal bahasa tetapi dalam hal pendidikan moral dan Islam. Kepada dua orang Menteri pernah ku katakan berdepan seorang dengan seorang. Tetapi tidak dikira mustahak untuk diterima. Tidak apalah. Janji aku telah katakan. Kerana manusia kadangkala tidak mendengar apa yang dikata, tetapi mendengar siapa yang berkata.

Jadi sebagai kesimpulan, aku rasa agak kebingungan sekarang. Kita merdeka tetapi tidak menguasai ekonomi negara, banyak sebab dan antara sebabnya kerana Bahasa Cina tidak dikuasai oleh orang-orang Melayu. Bahasa Inggeris pun orang Melayu lemah. Jadi di mana letaknya "kemegahan" kita dalam satu negara yang telah Merdeka setengah abad ini.

Aku menyedari perbincangan ku ini agak cetek. Tetapi diharapkan ada diantara generasi muda kita yang mahu memikirkan bagaimana kita boleh mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama boleh menguasai juga bahasa Cina dan bahasa Inggeris. Ini baik untuk ekonomi negara dan baik untuk dakwah Islam kerana kita mesti menjawab soalan yang Allah tanya dalam al Quran dalam surah 81, (At Takwir) ayat 26 yang bermaksud: "Maka ke manakah kamu hendak pergi (sekiranya kamu masih menyeleweng dari jalan al Quran)" Tanggung jawab berdakwah adalah tanggungjawab semua yang Allah beri kemampuan dan akal fikiran.
Wallahu'alam.

No comments:

Related Posts with Thumbnails