"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Monday, August 10, 2009

WADAHNYA DI BERSIHKAN DAHULU

 R & R antara Jakarta dan Bandung
Membeli Tid-Bits di R & R

Pada hari ini minggu lepas saya dan rombongan kecil berada di Bandung untuk menghantar anak seorang teman menjadi peserta di Pasantren Darul Tauhid yang agak terkenal di situ. Tepat dengan namanya anak muda yang kami hantar ini bernama Solehah. Dia pernah menjadi peserta selama lebih kurang sebulan tidak berapa lama dahulu dan kini ia ingin kembali untuk memantapkan lagi kekuatan minda dan ruh semoga benar-benar menjadi muslim mukmin seperti yang dituntut oleh Al Quran dan hadith.

 Bersama Solehah

Udara di Bandug dingin dan nyaman. Suasana di Pasantren tenang dan syahdu. Kami nampak pelajar-pelajar yang berumur belasan tahun dan awal duapuluhan berdiri bercakap-cakap di beberapa bangunan seperti sedang membuat persediaan. Semuanya berpakaian rapi yang melambangkan keutuhan peribadi muslim. Kalau ada ibu-ibu yang anaknya ada di situ , rasanya mereka akan berkata "sejuk perut ibu mengandung". Program yang diikuti oleh Solehah ialah program keusahawanan yang memberi kurikulum bersepadu anatra ilmu akademik, ilmu kerohanian dan pengalaman (hands on).

 Bersantai di Cottege Darul Jannah

Kami bermalam di cottege Darul Jannah dalam kampus Pasantren itu sendiri. Sarapan pagi disediakan dan kos penginapan amat sederhana. Kami melihat-lihat di sekeliling Pasentren untuk merasai satu suasana yang hampir macam di Mekah. Pelawat-pelawat luar membeli belah dan orang tempatan sibuk dengan kerja masing-masing. Masjid di situ buka 24 jam dan keadaannya bersih dan teratur. Kami mengambil kesempatan Qiam di Masjid malam hari dan terus menunggu hingga subuh. Semoga lawatan kami diberkati Allah swt dan kembali kita ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat berkongsi pengalaman walaupun sedikit.

Pertemuan istimewa dalam lawatan itu ialah kunjung hormat kepada isteri pengasas Pasentren tersebut. Sungguh mesra dan kami bercerita tujuan lawatan dan sedikit mengenai aktiviti dan aspirasi pertubuhan sukarela yang kami wakili, iaitu Pertubuhan Mawaddah Malaysia. Beliau bercerita juga mengenai perjalan Pasantren dan objektifnya sedikit sebanyak untuk kami lebih memahami misi dan visinya. Soal pokok yang saya boleh simpulkan ialah isu Iman dan Taqwa dalam gerakan harian, tidak mengira jurusan apa yang kita pilih dalam menyusun hidup di dunia yang sementara dan pantas berpusing ini.

 Kenangan bersama Isteri Pengasas Darul Tauhid (kanan sekali)

Kami berbual dan bercerita selama lebih kurang setengah jam tetapi dalam masa yang singkat itu kami dapat merasai "ruh" perjuangan dalam Islam. Dan untuk berjuang kita tidak perlu menunggu untuk berharta yang banyak sebelum mula bertindak. Semangat perjuangan menegakkan kebenaran Islam boleh dimulai bila-bila masa. Untuk rasa yakin kita hanya perlu bermula dengan menanam rasa insaf, benar-benar insaf pada diri-diri kita dan mula beramal dengan terlebih dahulu menimba ilmu yang mana kita boleh buat serentak. Tiada Ilmu tiada amal. Dengan tersenyum beliau berkata, "TAPI WADAHNYA PERLU DIBERSIHKAN DAHULU". Beliau bermaksud kita harus mengosongkan dan mensucikan hati nurani kita, qalbu kita agar yang baik-baik sahaja yang dapat bertempat didalamnya. Inilah yang akan menjadi pendorong kepada pada minda dan usaha kearah mengabdikan diri pada Pencipta kita.

Bila kembali ke Kuala Lumpur, teringatlah lagi kata-kata Mutiara dalam lawatan ke Darul Tauhid itu. Mari kita rujuk firman Allah dalam al Quran yang bermaksud:

" Dan hendaklah kamu memohon ampun kepada Tuhan mu dan bertaubat kepadaNya, nescaya dia akan memberi kenikmatan yang baik kepada kamu sampai waktu yang telah ditentukan. Dan dia akan memberikan kurniaNya kepada setiap orang yang berbuat baik. Dan jika kamu berpaling, maka sungguh aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari yang besar (qiamat)."
Surah HUD ayat 3.

Setiap kita pasti pernah melakukan dosa, tidak ada seorang manusia biasa yang sunyi dari dosa dan kesalahan. Allah maha pengampun dan setelah kita memohon ampun dan bertaubat kita berdoa jangan sampai kita terjerumus dalam kesalahan yang sama. Juga Allah swt berfiram yang bermaksud:

" Katakan lah (wahai Muhamad), mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada sesuatu itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga yang mengalir dari di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan yang suci bersih serta keredhaan dari Allah, dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat akan hamba-hambaNya"
" Iaitu orang-orang yang berdoa dan berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka."
" (dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya) dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah) dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memeohon ampun) pada waktu sahur."
Surah Ali Imran, ayat 15,16 dan 17.

Ustaz saya menyarankan supaya kita rajin-rajin solat taubat. Ini adalah proses membersihkan qalbu. Pada rekaat yang pertama bacalah ayat 133-136 surah Ali Imran yang bermaksud seperti berikut:

" Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.
Ia itu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa yang senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahan, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiyaia diri sendiri, mereka segera ingat pada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampun dosa-dosa melainkan Allah - dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Orang-orang yang demikian sifatnya balasanya ialah keampunan dari Tuhan mereka dan syurga -syurga yang mengalir dari di bawahnya beberapa sungai, mereka pula kekal di dalamnya, dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal."

Pada rakaat yang kedua bacalah ayat 106 - 112 Surah An Nisa' yang bermaksud seperti berikut:

" Dan hendaklah kamu memohon ampun pada Allah, kerana sesunggunya Allah adalah maha pengampun maha mengasihani.
Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri-diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa.
Mereka menyembunikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyika (kejahatan mereka) daripada Allah. Pada hal Allah ada bersama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari kata-kata yang tidak di redhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan.
Sedarlah kamu ini ialah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran) kamu telah berhujah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang akan berhujah dengan Allah untuk membela mereka itu pada hari Qiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab sikasa yang disediakan oleh Allah).
Dan siapa yang melakukan kejahatan atau menganiyaia dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun pada Allah nescaya ia akan dapati Allah Maha Pengampun maha Mengasihani.
Dan sesiapa yang melakukan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana) yang menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah maha Mengetahui maha Bijaksana.
Dan sesiapa yang melakukan sesuatu kesalahan atau sesuatu dosa, kemudian ia menuduhkannya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata."


Itulah yang dapat saya kongsikan buat kali ini. Saya juga menyeru diri saya sendiri untuk terus membersihkan hati nurani semoga Allah akan meredhai kita dan mendapat RahmatNya yang tidak terhingga. Amin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails