Di Ambang Ramadhan Kareem
Di ambang Ramadhan Kareem ini aku diperingatkan tentang kekuasaan Allah yang maha sempurna dan kesempurnaan ilmuNya yang maha menakjubkan.Alhamdulillah. Kita manusia dilahirkan kosong dari segala-galanya. Allah berfirman dalam surah an Nahl ayat 78 yang bermaksud: "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan ia mengurniakan pada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur."
Sebelum itu dalam ayat 77 Allah berfirman yang bermaksud: " Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan tiadalah hal kedatangan hari Qiamat melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi, sesungguhnya Allah amat berkuasa atas setiap sesuatu."
Dan kemudian dalam ayat 79 pula Allah berfirman yang bermaksud: " Tidakkah mereka melihat kepada burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah ) bagi kaum yang beriman."
Antara lain dalam ayat-ayat ini Allah menunjukan betapa maha kasih dan maha penyayang pada manusia dengan memberi kita ilmu dan segala kemudahan untuk mendapatkan ilmu itu. Dia memberikan pendengaran, penglihatan dan aqal fikiran. Dan kemudian dia memberi sedikit contoh untuk kita mula berfikir dengan menceritakan tentang burung terbang yang sekarang ini kita manusia dapat 'mencipta' pula kapal terbang, kapal angkasa dan segala yang lain yang serupa dengannya.
Dan di sini aku ingin memaku dihatiku mesej yang mengatakan " bagi kaum yang beriman". Iman dan taqwa adalah suatu yang Allah tiada kompromi yang harus ada pada setiap diri manusia. Betapa melangit ilmu yang kita ada, betapa besar dan kuat kaum keluarga yang ada disekeliling kita, betapa berbilion dollar yang ada dalam aset dan simpanan bank kita, Allah tidak mengi'tiraf kita sebagai hambanya yang sejati melainkan kita beriman padaNya melalui Rasullulah saw dan ajarannya dari Al Quran dan hadith-hadith nya.
Yang berilmu Allah uji, yang kaya harta Allah uji yang miskin Allah uji, yang kurang keupayaan fisikal Allah uji dan di ambang Ramadhan ini Allah sedang menguji hatiku dan imanku bagaimana menundukan ego. Ini adalah kerana pada masa ini aku sedang merasai bagaimana tersingungnya dan tergurisnya hati kerana ada sesuatu yang berlaku diluar dugaan aku dan telah mengakibatkan sesuatu yang menjadikan hati ini rasa sedih dan kecewa. Pada fahaman ku Ego adalah sebahagian dari nafsu dan nafsu itu Allah kurnia pada makhlukNya untuk tujuan-tujuan pengabdian semata-mata. Ini fakta yang senang disebut, senang disyarahkan tapi amat sukar untuk dihayati. Rasa seperti amat berat di dada ini.
Dengan apa jua kurnia Allah beri pada kita, kita boleh rasa ujub, boleh rasa rasa riak dan boleh rasa ego. Ada ketika-ketikanya dia boleh wujud serentak. Ketika ini, inilah ujian yang terasa amat besar dan di ambang Ramadhan aku hanya mampu memujuk hati dan minda ku untuk bersabar dan supaya tidak berhenti-henti memuji Allah. Aku teringat firmanNya yang menyuruh kita sentiasa memujiNya walau apapun yang terjadi pada diri kita. Mari kita lihat surah An Nahl ayat 75. M. Quraish Shihab memberi tafsir panjang lebar mengenai ayat ini. Walaubagaimana pun aku petik bahagian terakhir sebagai menyimpulkan erti "alhamdulillah" yang disebut dalam ayat sebagai bermaksud " ....ucapan kesyukuran atas telah sempurnanya pembuktian (kesempurnaan kekuasaan Allah)". Ada juga pendapat yang menjadikannya sebagai pengajaran kepada manusia, seakan-akan ayat ini berkata, 'Hai kaum muslimin / manusia, puja dan pujilah Allah yang telah meanugerahkan aneka nikmat kepada kamu dan memberi kamu petunjuk sehingga mengesakan dan mengakui nikmatnya'.
Memang nyata sekali kita mudah bersyukur kalau sesuatu yang berlaku pada diri kita atau sesuatu yang kita dapat raih adalah yang baik dan menyeronokan Ego kita. Kalau sebaliknya kita susah hendak memuji Allah, seolah-olah kita lupa atau tidak lagi menghargai nikmat yang lainnya. Wal hal Allah sememang wajib dipuji dalam apa jua keadaan. Aku diperingat untuk sentiasa peka dan menghayati hakikat bahawa apa jua kejayaan atau kegembiraan yang kita dianugerah adalah kerana Allah telah membenar dan mengizinkan untuk kita. Dan kalau kita dapat mengelak apa jua kejahatan atau kerugian atau yang seperti dengannya adalah kerana Allah lah yang menghalag dari terjadinya perkara itu. Tiada kuasa manusia melainkan apa yang dipinjamkan oleh Allah. Kuasa mutlaq adalah hanya seNya pada Allah jua. Maka itulah kita sentiasa mengucap 'alhamdulillah'. (tafsir alhamdulillah yang lain dalam surah Al Fatihah).
Aku diperingakan supaya memegang prinsip ini kuat-kuat. Tiada daya upaya melainkan dari Allah semata-mata. Jadi di ambang Ramadhan aku pujuk diri ku untuk mengosongkan diri / qalbu dan diisi dengan kalimah-kalimah taubat pada Allah dan kalimah-kalimah pujian untukNya setiap detik pernafasan. Semoga ego dapat ditundukkan dan merasai kekerdilan di sisi Allah swt. Perjalanan melalui Ramadhan ini pada diri ku, aku ibaratkan seperti perjalanan menuju Allah ketika menunaikan ibdah haji. Iaitu satu proses penyician diri menuju Allah yang seolah-olah melalui proses menuju mati. Aku ingin mencapai kepastian bahawa Hidup itu Nikmat dan Mati itu pun Nikmat. Semoga Allah menjadi Penolongku, dan niat dan ikhtiar ku ini mendapat redhanya. Amin.
No comments:
Post a Comment