"KALAU TAKUT DIPUKUL OMBAK, JANGAN BERUMAH DITEPI PANTAI."....pepatah Melayu.

Wednesday, August 12, 2009

SILENCE IS THE DEADLIEST WEAPON OF MASS DESTRUCTION


Kelmarin kami didatangi oleh seorang wakil dari COMPLETE, iaitu Coalition of Malaysian NGOs Against Persecution of Palestinians (Gabungan Ngo-Ngo Malaysia untuk Menentangan Kezaliman Ke Atas Rakyat Palestin). Cogankatanya seperti di atas. Setiap kali saya mengingati Palestin, setiap kali saya di tunjukkan gambar-gambar yang menyayat hati, setiap kalilah hati ini jadi sedih dan marah. Tetapi ke manakah hendak ditalakan kesedihan dan kemarahan ini.

Syabas saya ucapkan kepada Complete atas keperhatinan mereka menyebarkan kesedaran tentang isu Palaestin. Saya sendiri telah menganggotai Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan juga menjadi Sukarelawan Aman Palestin dalam usaha saya mahu "berperang" dengan Israel. Dan saya telah menghadiri kursus yang diadakan untuk sukarelawan2 oleh Wakil dari Palestin tentang, antara lain, bagaimana cara untuk membantu rakyat Palestin.

Hari ini saya hendak berkongsi pemikiran mengenai isu ini tetapi di lihat dari sudut mengapa dunia "membiarkan" isu ini berlarutan. Tetapi kalau cerita pasal dunia ia terlalu besar dan kita nanti akan hilang ditelan kesibukan minda orang-orang yang sentiasa sibuk. Oleh itu kita cerita tentang masyarakat Malaysia sahaja dulu, dan lebih kecil dari itu kita cerita tentang ahli keluarga kita, ahli qariah kampung kita dan kawan-kawan kita tentang keperhatinan mereka mengenai isu ini.

Saya sendiri pun belum lama melibatkan diri dalam hal ini, cuma selepas tugas menjaga orang tua kini tiada dan selepas saya bersara dari perkhidmatan awam. Dalam ingatan saya semasa bekerja dulu pun tiada gerakan seperti ini yang sampai ke Kementerian tempat saya bekerja. Mungkin saya sendiri yang terlalu sibuk dan terlepas pandang. Tetapi rasanya tiada. Sekarang ini saya cuba menggerakan ahli keluarga saya dan kawan-kawan rapat yang hidupnya selesa dari segi harta dan kebendaan yang lain. Alhamdulillah, saya rasa seronok kerana sambutan dari mereka amat menggalakkan. Cuma saya terkilan dengan diri saya kenapa tidak bertindak ke arah ini lebih awal lagi. Tapi saya cuba memujuk diri saya dan cuba meneruskan usaha walaupun dari segi kemampuan fisikal kini saya agak terhad. Hanya saya perkuat dengan doa semoga Allah masih memberi saya peluang untuk berjihad ke arah ini dan semoga saya dapat kurnia dari Allah  mengakhiri hayat bersama-sama mereka yang Syahid ke jalan Allah walaupun saya tidak pernah menjejak kaki di Bumi Ambia yang penuh barakah itu.

Saya juga cuba mengerakkan ahli qariah Masjid. Ada yang memberi sambutan tetapi ada juga yang berkata,"apa yang you susah-susah, Ngasobah. Orang Arab sendiri pun bertelingkah sama sendiri. Biarkan depa selesai masaalah depa tu." Agak terkejut saya bila mendengar kata-kata ini. Arab bukan contoh kita, bukan Idola kita. Pejuang Islam yang terkenal Salahuddin Al Ayubi yang pernah menawan Bitul Maqdis bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdish. Lagipun bukan orang berbangsa Arab yang tidak bersatu hati, tetapi pemimpin-pemimpin mereka yang masih  mahu mempertahan kuasa politik untuk kepentingan sendiri.

Soal Palestin bukan soal Arab. Ia isu Islam dan Islam sangat peka pada isu kemanusiaan. Dalam hal ini jangan kita katakan , " Ayuh kita bantu Palestin dan jangan kita kira bangsa dan agama." Jika kita kata demikian seolah-olah Islam tidak perhatin tentang kemanusiaan. Islam perhatin semua isu yang menyentuh kezaliman , ketidakadilan dan sebagainya. Orang Islam di mana jua mesti faham bahawa Palestin adalah isu bumi barakah yang Allah sebut dalam al Quran. Masjid Al Aqsa adalah Masjid setiap orang Muslim. Oleh itu tidak boleh kita mengatakan Palestin adalah isu Arab. Palestin adalah isu kita juga, isu orang-orang di Malaysia.

Jangan lah kita membisu mendiakan diri, kerana ini merugikan kita di dunia dan di akhirat. Kita terus bertindak mengikut kemampuan yang ada dan terus berdoa semoga Allah mempertingkat keimanan dan ketaqwaan kita dan semoga kita menjadi sebahagian dari gerakakn jihad dan matinya kita dianggap mati seorang yang Syahid walaupun kita tidak berada di medan perang. Amin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails